Bekas Ketua Polis Sabah, Datuk Ramli Yusof akhirnya bebas daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa dengan menggunakan pesawat polis untuk kepentingan peribadi, yang dibuat empat tahun lalu.
Mahkamah Rayuan, yang bersidang di Kota Kinabalu hari ini, sebulat suara mengekalkan pembebasan Ramli di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen. Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Sesyen tanpa Ramli dipanggil membela diri.
Keputusan oleh penal tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Sulong Matjeraie, adalah sebulat suara.
Dua lagi ialah hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Apandi Ali dan hakim Mahkamah Tinggi Sabah, Datuk David Wong. Ramli (kanan) didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua
polis Sabah untuk keuntungan kewangan peribadi apabila pada 15 Jun 2007, menggunakan pesawat polis diraja Malaysia - Cessna Caravan - untuk membawanya dan Brig-Jen (Bersara) Mohamad Yasin Yahya untuk pengawasan udara di dua lot di Ulu Tungku, Lahad Datu.
Dengan keputusan hari ini, pihak pendakwaan dan Pejabat Peguam Negara tidak boleh lagi merayu kes itu.
Ramli, yang merupakan bekas pengarah jabatan siasatan jenayah Komersial Persekutuan, juga dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lepas daripada tiga tuduhan gagal mengisytiharkan hartanya.
Beliau juga dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada tuduhan melanggar undang-undang yang menghalang penjawat awam daripada erlibat dalam perniagaan swasta.
Bagaimanapun, kedua-dua kes di Kuala Lumpur itu masih dalam proses rayuan oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi.
Ramli hari ini diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala timbalan pendakwa raya ialah Ahmad Bache.