Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: Perlu kuasa lebih tangani pengodam
Diterbitkan:  Jun 20, 2011 4:26 PM
Dikemaskini: Jun 22, 2011 1:27 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cyberscurity perlu diberikan kuasa lebih luas daripada segi perundangan bagi membolehkan entiti berkenaan mengambil tindakan lebih tegas dan pantas terhadap kegiatan penggodaman laman-laman web.

NONE Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim ( kanan ) berkata prasarana yang wujud ketika ini tidak mencukupi bagi membolehkan tindakan tegas dan pantas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kegiatan penggodaman.

"Susulan untuk menentukan siapa yang menggodam adalah soal yang berat, SKMM atau Cybersecurity perlu diberikan kuasa untuk menyusul siapa yang menggodam dan jikalau mereka di dalam Malaysia, tindakan yang perlu diambil atau yang boleh diambil," katanya kepada pemberita di Singapura, hari ini.

Rais sebelum itu menghadiri Forum Menteri-Menteri Asia Mengenai Teknologi Informasi dan Komunikasi (CommunicAsia) 2011 di Marina Bay Sands Convention Center, yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean.

Beliau berkata kegiatan penggodaman laman-laman web berkait rapat dengan isu undang-undang dan jika soal perundangan itu tidak ditangani, maka segala langkah untuk menangani aktiviti penggodaman itu hanyalah bersifat sementara.

"Undang-undang kita (Malaysia) ada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, cuma mekanisme perlu disusul lagi. Kalau kita mahu penyusulan yang pantas, maka alatnya mesti ada dan orang mesti dilatih dan kemungkinan-kemungkinan lain.

azlan "Insya-Allah, di dalam tempoh terdekat kita rancang untuk menanganinya (penggodaman) dengan cepat," kata beliau.

Katanya Malaysia yang berhadapan dengan serangan pengodam dengan kira-kira 200 laman webnya telah diserang, telah mengemukakan bahan-bahan baru tentang bagaimana kerajaan dapat mempertahankan hak mereka daripada serangan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Pandangan Malaysia itu, katanya telah mendapat perhatian daripada peserta-peserta forum dengan beberapa penyelidikan baru akan dilaksanakan ke arah itu.

Rais berkata forum tersebut yang turut dihadiri oleh wakil daripada lebih 50 negara, merupakan peluang bagi komuniti antarabangsa mencari jalan dan kerjasama bagi mewujudkan integriti menangani jenayah siber.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS