Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu akan tetap mengadakan perhimpunannya pada 9 Julai walaupun polis memberi amaran akan mengambil tindakan.
Katanya, waktu untuk membincangkan mengenai permit bagi perhimpunan berkenaan juga telah berakhir.
"Saya rasa (berhubung) isu permit ini, keretapi dah lepas dah.
"Apa sajalah, permit polis, amaran dia nak bagi, Pemuda tetap akan hadir.
"Hendak bagi arahan macam mana pun, maaflah. Waktu untuk amaran sudah berakhir," katanya lagi ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.
'Lantak dia orang lah'
Khairy pada Khamis lalu mengumumkan rancangan Pemuda Umno untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh sama bagi menyatakan sokongan ke atas sistem pilihan raya sedia ada.
Beliau mendakwa perhimpunan berkenaan tidak ada kena mengena dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang menuntut reformasi ke atas pilihan raya dan mengukuhkan demokrasi.
Namun, sokongan dari pergerakan pemuda dalam komponen BN setakat ini masih belum dapat dijangka.
Malah, Khairy sendiri ketika ditanya sama ada beliau akan disokong pemuda MCA dan MIC berkata:
“Lantak dia oranglah hendak datang ke tidak datang. Saya tidak kisah.”
Dalam pada itu Khairy turut mengambil peluang untuk memperlekehkan gerakan BERSIH 2.0 yang turut berkeras untuk mengadakan perhimpunan pada hari berkenaan.
Katanya, kenyataan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh mengarahkan supaya BERSIH 2.0 dihentikan, menunjukkan gerakan berkenaan membawa agenda pembangkang.
Prinsip BERSIH dikompromi
"Itu (Anwar) tersilap cakap ke, saya tak tahu, tapi tunjukkan aspek agenda pembangkang di sebalik BERSIH.
"Walaupun semalam (pengerusi BERSIH) Ambiga (Sreevanasan) cakap tak ada pihak yang boleh arahkan untuk batalkan BERSIH tapi kenyataan itu bagi gambaran bahawa bagi (Anwar) sendiri ada pengaruh, maknanya BERSIH diberi peluang besar kepada pembangkang.
"Di situ kita nampak prinsipnya telah dikompromi. (BERSIH) dah jadi alat kepada pembangkang," kata Khairy lagi di bangunan UDA Holdings Bhd hari ini.
Tambahnya, kenyataan Anwar itu memberi gambaran seolah-olah ketua umum PKR itu mempunyai pengaruh dalam perhimpunan BERSIH.
“Maknanya BERSIH ini diberi peluang yang begitu besar kepada pihak pembangkang untuk buat keputusan sampai ada tanggapan di pihak Anwar sendiri, dia boleh pengaruhi BERSIH,” kata Khairy.
Ibrahim Ali 'bakar perkauman'
Dalam pada itu, Khairy turut mengulas laporan yang memetik kenyataan presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali yang membayangkan bahawa keadaan huru-hara akan berlaku sekiranya perhimpunan BERSIH 2.0 tidak dihentikan.
Khairy dengan tegas menyatakan pendiriannya bahawa beliau tidak bersetuju dengan pendapat Ibrahim yang disifatkannya sebagai pandangan "gila."
“Saya tidak bersetuju juga dengan Ibrahim Ali. Ini membakar perkauman. Ini gila. Kita buat benda yang baik bukan benda yang menghasut,” katanya.