Saranan Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) agar polis menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap penganjur perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai ini satu ugutan keterlaluan dan melanggar lunas demokrasi, kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan ( bawah, dua dari kanan ).
“Mereka mahu ugut siapa? Kami sudah menegaskan kepada semua bahawa kami hanya akan berhimpun secara aman dan menunjuk perasaan kami membantah sistem demokrasi yang masih pincang dan mendesak supaya beberapa tuntutan kami yang mewakili sebahagian besar rakyat diterima dengan baik oleh pihak kerajaan.
“Apa masaalah MUBARAK? Apa masalah kerajaan untuk tidak menunaikan permintaan sebahagian rakyat biar pun tidak semua rakyat dalam negara ini membuat tuntutan serupa?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Nasrudin juga menasihatkan MUBARAK dan kerajaan BN agar tidak menjadi seperti bekas Presiden Mesir Husni Mubarak yang suatu ketika dahulu bermaharajalela dan menangkap siapa sahaja yang menentang beliau tanpa sebarang bicara sehingga digulingkan rakyat.
“Jika ugutan dan tangkapan itu mereka fikir boleh menakutkan rakyat, maka saya fikir mereka silap dan 1001 kali silap,” katanya.
Menurut Nasrudin beliau sendiri akan berada di saff hadapan pada perhimpunan itu nanti dan mengingatkan kerajaan khususnya pemimpin BN supaya tidak menakut-nakutkan rakyat dengan ISA.
“Jangan fikir ISA itu boleh mengendurkan semangat saya dan melemahkan kesungguhan saya apalagi mahu menakutkan saya. Saya yakin ini adalah perjuangan rakyat yang mahu menuntut kebenaran, keadilan, ketelusan dan kejujuran dalam sistem pengendalian demokrasi negara dan ia adalah suatu yang dituntut oleh Islam, justeru Islamlah pelopor keadilan, ketelusan dan kejujuran ini,” katanya.
Menurut Nasrudin, himpunan BERSIH tidak meminta suatu yang merugikan mana-mana pihak termasuk kerajaan.
“Apa yang kita minta ialah padang yang sama rata, alat yang serupa dan suasana yang mengizinkan ketelusan berlaku dan dilihat berlakunya ketelusan dalam sistem demokrasi khasnya sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini,” katanya.
Pemimpin PAS itu berkata himpunan BERSIH pada 9 Julai ini diadakan setelah tuntutan pelbagai pihak yang mahu pilihan raya yang adil dan telus di negara ini tidak dilayan dengan baik oleh kerajaan dan pihak berkuasa.
Beliau juga memberikan jaminan himpunan BERSIH akan diadakan secara aman dan menggesa semua pihak termasuk peniaga supaya tidak perlu bimbang kerana tiada perkara yang tidak diingini akan berlaku sekiranya mana-mana pihak termasuk polis tidak mencetuskan provokasi.
“Saya yakin, yang rasa tidak aman ialah Umno dan BN, yang resah ialah Umno dan BN dan yang gundah ialah Umno dan BN.
“Malaysia bukan negara polis. Maka usahlah kerajaan menangani masalah rakyat dan tuntutan mereka dengan kekerasan dan tangkapan. Tapi, kalau kerajaan fikir mereka mahu jatuh cepat dari jadual yang telah ditentukan, silakanlah berbuat sesuka hati. Saya tidak boleh jamin apa-apa,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya menggesa semua rakyat dari seluruh negara supaya melawat Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.
Pelancongan pada 9 hb Julai ini adalah bertemakan ‘Keadilan dan Ketelusan’ di samping menikmati kota raya negara kita sendiri.
“Datang jangan tak datang. Saya tunggu anda semua,” katanya.