Lebih 10,000 penduduk Damansara di ibu negara membantah pembinaan keretapi Aliran Transit Massa (MRT) yang membina landasan atas melintasi kawasan kejiranan mereka.
Bantahan itu dinyatakan melalui petisyen yang diusahakan oleh Gabungan persatuan penduduk dan rukun tetangga Lembah Klang yang dikumpulkan dalam tempoh tiga bulan terkini.
Menariknya mereka tidak menolak terus kemudahan MRT, sebaliknya mahu ia dibina di bawah tanah, seperti yang dilaksanakan di negara maju.
Gabungan itu mewakili tujuh persatuan penduduk dan rukun tetangga Damansara menyerahkan petisyen penduduk Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Damansara Utama, Damansara Kim, Mutiara Damansara dan Kota Damansara.
Petisyen itu diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Utama, Lim See Meng kepada Pengurus pegawai perhubungan awam dan media Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Leong Shen Li di Plaza Sentral, hari ini.
Ditemui selepas penyerahan petisyen itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Mohd Hatim Abdullah berkata penduduk tidak pernah membantah pembinaan MRT, malah menyokong usaha ini.
'Jangan sampai penduduk berdemo'
"Itulah harapan besar kita, bina bawah tanah. Kalau boleh untuk kali pertama ini, buatlah yang betul, biar mahal tidak mengapa kerana ia untuk cucu cicit kita, ia sudah terbukti di London.
"Kalau kita fikir MRT bawah tanah di London sudah menjangkau 200 tahun, walaupun kos mahal, ia lebih praktikal, kalau MRT dibina di atas, kamu boleh bayangkan susah nak bina kerana mesti lalu lintas akan menjadi sesak," katanya.
Ditanya tindakan mereka sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi kerajaan, Mohd Hatim menggesa kerajaan berfikir secara terperinci sebelum menolak cadangan tersebut.
Menurutnya, memandangkan lebih 10,000 tandatangan dikumpul daripada penduduk, kerajaan tidak wajar menolak cadangan tersebut.
"Takkan kita nak merusuh, itu boleh berlaku, kita memang nak MRT tetapi jangan sampai ke tahap penduduk pergi berdemonstrasi, halang jalan dan sebagainya," kata ahli perniagaan itu.
Mengulas lanjut, Mohd Hatim berkata sekiranya kerajaan tidak mahu mendengar suara hati penduduk, kerajaan perlu memikirkan secara terperinci apakah tindakan penduduk selanjutnya selepas itu.
SPAD: Bukan cadangan baru
"Itu persoalan saya, saya tidak boleh cakap apa-apa, kalau saya nak bantu kerajaan untuk menenangkan hati penduduk, saya tidak tahu bagaimana caranya.
"Sekarang ini saya pengerusi persatuan penduduk, dua tahun lagi tak tahu siapa pengerusi, mungkin pengerusi muda lebih agresif daripada saya.Jadi kita harap kerajaan fikir secara terperinci apa yang kita cadangkan ini diterima, itu sahajalah harapan kita," katanya.
Sementara itu, Leong pula berkata, kesemua maklum balas akan dinilai dengan mendalam dan akan dikemukakan kepada kerajaan sebelum keputusan akhir mengenai penjajaran dan lokasi stesen diputuskan.
Menurutnya, cadangan membina MRT bawah tanah bukannya perkara baru dan pernah disuarakan oleh persatuan penduduk TTDI dan Bandar Utama dan NGO sebelum ini.
"Kita akan usulkan cadangan ini kepada kerajaan dan biar pucuk pimpinan tertinggi memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat," katanya.