Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS Melaka akan membentuk kabinet atau jawatankuasanya yang baru Sabtu ini bagi membolehkannya bergerak lebih aktif mendepani cabaran.

NONE Pesuruhjaya PAS Melaka yang baru, Adly Zahari dijangka akan melantik beberapa muka baru untuk menjadi timbalan pesuruhjaya 1, 2 dan 3.

Nama-nama yang akan dipertimbangkan termasuk Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Tangga Batu Mohd Nor Omar dan Timbalan Yang Dipertua PAS Masjid Tanah Imran Abdul Rahman.

Untuk jawatan setiausaha perhubungan pula, Adly dijangka mengekalkan penyandang jawatan penggal lalu Harun Mohamed yang juga merupakan yang dipertua PAS Kota Melaka.

Sementara jawatan ketua penerangan pula dijangka diamanahkan kepada muka baru kerana penyandangnya sekarang Sofi Wahab lebih berminat untuk menjadi ahli jawatankuasa biasa sahaja.

Beliau telah dua penggal memegang jawatan tersebut.

Beberapa pimpinan peringkat kawasan seperti Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin Azrin Abdul Majid, Ketua Penerangan Tangga Batu Nordin Md Dahan dan Ketua Penerangan Bukit Katil Yusof Wahab boleh dilantik untuk menggalas jawatan tersebut.

Keyakinan tinggi

Azrin dan Yusof merupakan bekas ketua Dewan Pemuda PAS negeri Melaka.

Husni Balis pula dijangka dikekalkan sebagai bendahari negeri untuk penggal yang keempat. Beliau dilihat masih mampu menguruskan kewangan PAS negeri dalam bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Namun begitu Adly masih mempunyai pilihan lain, antaranya Timbalan Yang Dipertua Tangga Batu Rafie Ahmad dan Ab Rahhim Idris boleh  diketengahkan sebagai bendahari.

Adly juga dijangka melantik pengarah pilihan raya yang baru bagi menggantikan Mejar (B) Jasme Tompang.

Antara yang dikatakan layak memegang jawatan tersebut ialah pemimpin veteran PAS negeri Hassan Md Dahan, setiausaha jentera pilihan raya negeri sekarang Bahiki Ismail dan Pengarah Majis Tindakan Dun Ayer Molek Mustafa Ali.

Beberapa orang ahli jawatankuasa tambahan akan dilantik bagi melengkapkan kabinet PAS Melaka, selaras dengan perlembagaan yang memperuntukan kuasa kepada pesuruhjaya untuk melantik ahli jawatankuasa tambahan.

Beberapa nama mungkin dipertimbangkan antaranya Yusof Rahmat, Hassan Md Dahan, Dr Khatijah Jumangat, Aminuddin Abdul Jalil dan Dr Hamzah Awang.

Beberapa pimpinan PAS pelbagai peringkat yang ditemui melahirkan keyakinan yang tinggi kepada kabinet yang akan dibentuk.

Gabungan ulama, profesional, aktivis

Ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Melaka Mahani Othman berkata barisan jawatankuasa yang dilantik itu mestilah  terdiri daripada mereka yang berkebolehan, berwibawa dan boleh diharapkan untuk menghadapi pilihan raya umum dengan baik.

"Kabinet baru yang akan dibentuk itu sudah pasti akan menggabungkan golongan ulama, profesional dan aktivis dalam PAS.

"Ini sejajar dengan langkah yang diambil oleh PAS Pusat yang memilih dan melantik kabinetnya dengan gabungan ketiga-tiga golongan itu dalam parti," katanya ketika ditemui semalam.

Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil Ramii Dalip menaruh keyakinan tinggi terhadap Adly yang menurutnya mampu membawa perubahan kepada PAS Melaka.

"Beliau sudah pasti akan melantik saf kepimpinan yang dirasakan mampu untuk memacu perjuangan PAS di negeri Melaka ini lebih-lebih lagi Melaka merupakan satu-satunya negeri yang tiada kerusi PAS di DUN.

"Dalam ucapannya pada ceramah di Kota Melaka tiga hari lalu, pesuruhjaya melahirkan keyakinan tinggi bahawa rakyat negeri Melaka akan berubah dengan syarat semua jentera bekerja kuat bag mengubah minda rakyat," ujar Ramli ketika ditemui.

Adly dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Melaka oleh jawatankuasa pusat PAS awal minggu ini bagi menggantikan Abdul Ghani Abdul Rahman. Beliau sebelum ini merupakan timbalan pesuruhjaya dan setiausaha perhubungan PAS Melaka.


Sofi Wahab merupakan ketua penerangan PAS Melaka. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini

ADS