Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Keterangan bercanggah atas desakan Khir'
Diterbitkan:  Jun 16, 2011 9:08 PM
Dikemaskini: Jun 17, 2011 12:40 AM

Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa beliau memberi tiga kenyataan bercanggah dalam dua rakaman percakapannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009 dan 7 Jun lepas atas desakan bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo.

   

NONE Shamsuddin berkata desakan itu berlaku selepas beliau dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan, dan "saya menerima banyak desakan daripada Mohamad Khir untuk tidak melibatkan diri beliau."

"Kerap kali saya dijanjikan bahawa kes akan dikawal, iaitu tidak akan berlaku pendakwaan terhadap saya dan beliau. Saya yakin dan percaya saya datang ke SPRM sebagai saksi dan bila SPRM datang hendak hantar surat, rupa-rupanya mereka datang bawa surat pendakwaan.

   

"Pada hari orang SPRM datang bawa surat untuk saya didakwa di mahkamah pun, Mohamad Khir masih cakap jangan bimbang, kita boleh selesaikan perkara ini. Itu janji-janji beliau," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed.

   

Shamsuddin memberi keterangan pada hari ketujuh perbicaraan kes terhadap Dr Mohamad Khir yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas) melalui Shamsuddin. 

khir toyo mansion 060709 06 Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

   

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6 Jun melepaskan dan membebaskan Shamsuddin daripada tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir berhubung tuduhan tersebut.

   

Semalam, Shamsuddin memberitahu mahkamah bahawa terdapat beberapa percanggahan dalam keterangannya yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kali pertama pada 2009 dan sehari selepas beliau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat iaitu pada 7 Jun lepas.

Kepada soalan lain, Shamsuddin berkata beliau tidak memaklumkan laporan penilaian yang dibuat oleh penilai yang dilantiknya, Trans Asia Properties kepada Dr Mohamad Khir pada perjanjian jual beli pada 2007 atas sebab harga rumah yang ditawarkan masa itu adalah sama dengan penilaian rumah iaitu RM5.5 juta.

    

NONE Shamsuddin berkata nilai itu hanya dimaklumkan kepadanya secara lisan oleh penilai harta berkenaan tetapi tidak mempunyai dokumen mengenai penilaian itu ketika urusan jual beli.

    

"Tidak perlu bagi saya menunjukkan kepada Dr Mohamad Khir laporan nilai Trans Asia kerana ia telah disampaikan kepada Dr Mohamad Khir dalam perbincangan saya bersama Dr Mohamad Khir di mana saya meminta RM5.5 juta, yang saya percaya adalah angka yang munasabah.

   

"Bagaimanapun, Dr Mohamad Khir tidak setuju dengan harga itu dan minta dikurangkan kepada RM3.5 juta," katanya.

   

Terdahulu, peguam yang mewakili Dr Mohamad Khir, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata Shamsuddin gagal untuk mendedahkan fakta itu (laporan penilaian) kepada Dr Mohamad Khir, dan dengan itu menafikannya peluang yang saksama untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

    

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung Isnin depan.

- Bernama

ADS