Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS akan menghantar memorandum bantahan kepada pihak pengurusan Utusan Malaysia di ibu pejabatnya di Cheras berhubung penyiaran kartun yang dianggap menghina Islam.

NONE Ketua Pemudanya Nasrudin Hasan akan mengetuai delegasi 10 orang dewan itu yang mahu bertemu dengan pihak akhbar berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung lanjut.

"Kita akan menyerahkan memorandum supaya mereka mengambil tindakan terhadap pelukis karikatur itu. Kita mahu minta penjelasan mengapa ia boleh terlepas atau tidak ditapis atau ia mengikut kehendak pihak tertentu," kata setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil ( kiri ).

Beliau memberitahu Malaysiakini,  pihaknya juga akan menuntut Utusan memohon maaf dan menarik balik penyiaran kartun itu.

Semalam akhbar milik Umno itu pada halaman 15 menyiarkan kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' karya Miki.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi.

NONE Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan berkenaan.

Khairul Faizi berkata, delegasi pada jam 9 pagi esok dijangka diiringi 100 ahli dan penyokong parti itu dari sekitar Lembah Kelang.

Sementara itu, Nasrudin ( kanan ) dilaporkan berkata, sekiranya desakan mereka itu tidak dihiraukan, Pemuda PAS akan mengadakan bantahan lebih keras melalui demonstrasi besar-besaran.

"Karikatur itu jelas mempersendakan hukum dan agama Islam, apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan," beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily .

Tegasnya, penyiaran kartun sebegitu merupakan kesalahan besar yang tidak boleh dibiarkan.

ADS