ADUN Sekinchan Ng Suee Lim membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia kerana mendakwa akhbar milik Umno itu menyiarkan berita palsu supaya DAP dan PAS berbalah.
Beliau merujuk laporan Utusan Selasa lalu yang berjudul "Pengguguran Hasan Ali disambut baik DAP" dengan mendakwa pemimpin DAP itu berkata keputusan berkenaan akan memperkukuhkan hubungan antara parti komponen Pakatan Rakyat di Selangor.
“Saya tidak pernah berjumpa dengan wartawan Utusan mahupun dihubungi oleh akhbar itu,” kata Ng selepas membuat aduan di balai polis Sekinchan pada petang Rabu.
"Laporan itu mempunyai elemen fitnah dan ia adalah berita palsu yang direka.
"Saya tuntut Utusan mengeluarkan permohonaan maaf secara terbuka. Ini jelas bertentangan dengan etika media,” katanya.
Ng mendakwa laporan itu sengaja dibuat bagi mensabotaj hubungannya dengan bekas Pesuruhjaya PAS Datuk Hasan Ali.
"Malah, sebenarnya saya mempunyai hubungan yang baik dengan Hasan,” katanya.
Laporan Utusan itu kononnya memetik Ng berkata, ini memandangkan Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri itu dikatakan tidak membantu dalam usaha mengukuhkan parti pembangkang di negeri ini.
''Bukan kita (DAP) tidak suka (Hasan), tetapi saya dengar dia tidak bagus dan jarang turun padang. Namun, saya yakin dengan perubahan pimpinan PAS negeri ini akan memantapkan parti pembangkang di Selangor.
''Hasan juga dilihat berbeza daripada pimpinan PAS negeri yang lain kerana dilihat lebih cenderung kepada Umno dan dikatakan menyokong kerajaan perpaduan sebelum ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia - lapor akhbar itu.