Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memantau harga ikan di pasaran bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ekoran pengurangan subsidi harga diesel.
Timbalan Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata kementerian itu telah menyediakan pegawai untuk memantau harga pasaran ikan di seluruh negara.
Sekiranya peniaga didapati menaikkan harga, mereka boleh didakwa di bawah Akta Anti Pencatutan 2010 (harga melampau), katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kenaikan harga diesel bagi pengusaha bot pukat tunda C2 laut dalam tidak seharusnya diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga pasaran ikan.
Kerajaan sebelum ini memutuskan pengusaha bot berkenaan perlu membeli diesel pada kadar RM1.80 seliter dan bukan pada harga subsidi super RM1.25 seliter yang layak mereka nikmati sebelum ini.
Super subsidi bagaimanapun dikekalkan kepada kenderaan yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti bas sekolah, teksi dan individu yang membeli enjin bot sangkut dan sebagainya.