Syarikat Prasarana Negara Bhd, pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), monorel dan bas RapidKL, menjangka pendapatannya meningkat sebanyak 10-15 peratus dengan Sistem Tiket Bersepadu (ITS) baharu.
ITS, dari segi teknikalnya merujuk kepada sistem Kutipan Tambang Automatik, akan membolehkan penumpang menggunakan satu tiket tunggal bagi tiga perkhidmatan relnya iaitu Aliran Kelana Jaya, Aliran Ampang dan Monorel.
Pengarah Urusan Kumpulan, Shahril Mokhtar, berkata syrikat itu yakin dapat mencapai sasaran itu kerana ITS akan juga meningkatkan bilangan penumpang, yang kini seramai hampir 400,000 sehari.
Beliau berkata Prasarana berhasrat meningkatkan bilangan penumpang kepada purata setengah juta sehari tahun depan.
"Sistem baharu yang menelan kos RM115.2 juta ini akan disepadukan sepenuhnya di LRT Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang pada 30 Nov, 2011, monorel (suku pertama tahun depan) serta KTM Komuter dan bas RapidKL (dijangka menjelang 2013)," katanya pada satu taklimat media di Kuala Lumpur hari ini.
Empat stesen
Shahril berkata hingga hari ini, ITS telah dipasang di empat stesen LRT, iaitu Taman Paramount dan Abdullah Hukum bagi Aliran Kelana Jaya; dan Sultan Ismail dan Bukit Jalil bagi Aliran Ampang.
"Pada masa ini, projek sistem ITS sudah 62 peratus siap dan Prasarana akan perlahan-lahan menggantikan sistem lama mulai September.
"ITS akan juga dirangkumkan bagi perkhidmatan MRT dan sambungan LRT," katanya.
Beliau berkata Prasarana akan membolehkan pengguna membeli dan menambah nilai tiket mereka secara dalam talian. Ia juga akan memperkenal mata ganjaran penumpang setia bagi penggunanya.
Shahril berkata sistem semasa kini sudah usang dan Prasarana menghadapi kesukaran mendapatkan alat ganti.
Sementara itu, kata Shahril, sebarang kenaikan tambang akan bergantung kepada kerajaan dan Prasarana tidak akan bergantung semata-mata kepada hasil tambang sebagai sumber pendapatannya.
Katanya, syarikat itu juga sedang mempertimbang bidang-bidang lain seperti pengiklanan, ruang perniagaan runcit dan talian optik gentian sebagai sumber pendapatan.
- Bernama