Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai ini adalah “himpunan kotor, bukan bersih," kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Sambil menyindir perhimpunan itu, Ahmad berkata, BERSIH akan menjadi "titik hitam" yang menjejaskan prestasi baik kerajaan dalam "364 hari lagi".
"(Ia) susahkan rakyat, rugikan penjaja, rugikan peniaga yang ada kedai, rugikan pemandu teksi," katanya.
Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan beberapa NGO bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan tuntutan lapan perkara bagi membaikpulih sistem pilihan raya.
Tuntutan itu bagi membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem pengundian pos, memperkenalkan dakwat kekal, memastikan akses kepada media bebas dan adil, menjamin tempoh minima 21 hari berkempen, menghentikan rasuah dan politik kotor.
Bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Ahmad menyifatkan perhimpunan itu sebagai ancaman kepada ekonomi negara, khususnya terhadap industri perlancongan dan pelaburan asing.
"Ia (BERSIH) bukan ancaman pada UMNO saja, ia ancaman pada negara. Kita lihat perhimpunan dulu (pada 2007), enam bulan baru pelancong kembali pada tahap sebelumnya," kata Ahmad Maslan.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, belum pernah ada demonstrasi anjuran pembangkang berlangsung dengan tenang setakat ini.
"Tidak pernah lagi berlaku perkara itu. Pengalaman kita tidak pernah ada demonstrasi yang aman.
"Ada seorang saja yang 'histeria', habislah," katanya ketika ditanya tentang dakwaan Pemuda PAS yang menjangkakan perhimpunan itu akan aman sekiranya polis memberikan kerjasama.
Pembangkang jadi dalang
Ahmad juga berkata, BERSIH bukan mewakili kehendak NGO, sebaliknya didalangi pemimpin Pakatan, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita tahu yang dibelakang-belakang ini semua (BERSIH 2.0) adalah pembangkang. Ini adalah alat pembangkang.
"(Ini) agenda kotor," katanya sambil menunjukkan gambar pemimpin PKR, DAP dan PAS dalam majlis kempen BERSIH.
Ahmad sebelum itu mengadakan perbincangan dengan NGO Melayu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) yang menentang penganjuran perhimpunan tersebut.
Antara hasilnya, Ahmad berkata, beliau mencadangkan semua berkaitan, termasuk persatuan penjaja dan pemandu teksi membuat laporan polis boleh dan menyaman penganjur perhimpunan itu.
"Saya mengesyorkan NGO yang lain buat laporan polis sebanyak yang boleh. Pemandu teksi (pun boleh) sediakan peguam-peguam untuk saman," katanya.
Turut hadir penasihat Pekida Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan Datuk Hamzah Daud dan Presiden Datuk Roslan Dahaman.