Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor bakal menumpukan tiga rancangan utama bagi golongan peneroka Felda di negeri itu dalam usahanya untuk meraih sokongan masyarakat berkenaan dalam pilihan raya akan datang.

Tiga rancangan berkenaan – pemberian hak milik tanah kepada peneroka, pembinaan rumah mampu milik dan juga penamatan status tanah berkelompok – dikemukakan hari ini kepada Sekretariat Task Force Felda Selangor.

NONE Usaha berkenaan dijangka akan dapat dilakukan melalui dua peruntukan bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang dapat memberi lebih kuasa kepada kerajaan negeri dalam soal pentadbiran tanah berkenaan.

Salah satu daripada ruang undang-undang berkenaan ialah bidang kuasa yang diberikan kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan geran mengikut Seksyen 10 akta berkenaan, kata pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said.

Satu lagi ruang berkenaan ialah peruntukan bawah Seksyen 44 yang membolehkan kerajaan negeri menamatkan rancangan berkelompok dan mengambil semula ladang di bawah kuasa Felda, kata Suhaimi lagi.

"Macam mana hendak keluarkan (daripada penempatan berkelompok)? Senjata yang digunakan ialah (Akta Penempatan Berkelompok) dan kontrak yang berat sebelah. Walau kawasan sudah diberi hak milik, mesti dijual kepada pembeli yang ditetapkan Felda."

Geran tanah

"Kalau hendak keluarkan mereka (dari penempatan berkelompok), mesti kaji bawah kuasa 44 untuk tamatkan," katanya lagi ketika membentang kertas kerjanya dalam majlis perbincangan berhubung isu berkenaan.

NONE Katanya lagi, kerajaan negeri juga harus mengambil peluang untuk mengumumkan pakej bagi membina rumah mampu milik, khususnya bagi golongan muda yang dilahirkan di kawasan Felda berkenaan.

Beliau memberi contoh, kawasan seluas lebih 30 ekar di kawasan Felda Suharto yang sesuai untuk dijadikan tapak bagi perumahan berkenaan.

Tambahnya, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah bersetuju supaya satu cadangan dikemukakan bagi membolehkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri.

Hak bantah

Bagi proses mendapatkan geran pula, Suhaimi berkata kerajaan negeri hanya perlu memberitahu Felda bahawa peneroka itu akan diberikan geran tanah.

NONE "Felda ada hak bantah, tapi (kerajaan negeri) ada hak keluarkan geran," katanya lagi.

Seorang lagi ahli panel dalam perbincangan itu, Mazlan Aliman pula berkata, usaha yang dilakukan bagi golongan peneroka berkenaan sepatutnya ditawarkan dalam pakej seperti manisfesto Buku Jingga Pakatan Rakyat.

"Ini akan jadi isu utama yang kita akan jadikan peluru pilihan raya. Felda bukan lagi talian hayat BN, (malah) kubu mereka inilah yang akan runtuhkan BN," kata pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan itu lagi dalam majlis perbincangan sama.

Majlis perbincangan di Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor itu turut dihadiri menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim, anggota exco dan juga sekitar 60 orang ahli majlis serta peneroka.

Sekretariat yang telah ditubuhkan sejak lebih setahun itu sebelum ini dikepalai oleh Datuk Zaid Ibrahim yang bertindak keluar daripada PKR dan kini mengetuai parti baru KITA.

ADS