Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita S'pura diarah berbogel, ketuk ketampi
Diterbitkan:  Jun 14, 2011 9:30 AM
Dikemaskini: 9:17 AM

Dua wanita warga Singapura dilaporkan dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh anggota Jabatan Imigresen selepas ditangkap atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah.

Tindakan seumpama itu pernah diisytiharkan sebagai “tidak berperikemanusiaan dan menghina” serta diarahkan dihentikan serta-merta oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat Peraturan Prosedur Operasi Standard (IGSO) berhubung laporan mengenai pemeriksaan badan, ketika ditangkap dan dalam tahanan pada 2006.

azlan Suruhanjaya lima anggota yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah itu berkata amalan tersebut juga haram di sisi Syariah dan mencabul hak asasi manusia.

Menurut akhbar harian berbahasa Cina Singapura - Lianhe Zaobao , kejadian berlaku pada awal pagi 9 Jun lalu apabila dua wanita berkenaan memandu menyeberangi Tambak Johor dari republik itu.

Mereka menuju ke Johor Bahru dengan tujuan untuk makan malam tetapi secara cuai dan lalai melalui kaunter imigresen tanpa mengecop passport masing-masing.

Atas kesilapan itu, mereka ditahan dan didakwa sebagai pendatang asing dan dikurung di lokap di Pontian, Johor.

Wanita yang menggunakan nama samaran Lin Li Li, memberitahu akhbar itu, dia dan rakannya  Zhan Ting Ting, juga nama samaran, kemudiannya diarahkan supaya menanggalkan semua pakaian mereka dan melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali.

Selepas selesai melakukannya, mereka diberi pakaian tahanan dan mendakwa digari dan dikurung di bilik tahanan yang cukup memilukan.

singapore customs nude squat 130611 "Baju yang diberikan itu kotor dan berbau. Sel itu sebesar dua pertiga gelanggang bola keranjang tetapi ada 50 ditempatkan di dalamnya. Ada banyak nyamuk dan juga lipas.

"Kami digari dan dilayan seperti banduan meskipun kami belum didapati bersalah. Ini amat menghina,” kata Lin kepada akhbar itu.

Selepas dikurung selama 24 jam, mereka kemudiannya dibebaskan dengan surat amaran daripada seorang pegawai imigresen.

Berang layanan yang tidak berperikemanusiaan itu, kedua-dua mereka berkata tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia walaupun dijemput berbuat demikian.

Menurut laman web akhbar harian Sin Chew, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmud Adam enggan mengulas kerana belum menerima laporan berhubung perkara itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS