Tun Dr Mahathir Mohamad meminta orang Melayu membuka mata melihat PAS "mempermainkan Islam" dengan "menggugurkan" perjuangan negara Islam kerana ingin mendapat undi bukan Islam.
"Wahai orang Melayu yang semuanya beragama Islam. Bukalah mata kamu dan lihatlah bagaimana PAS mempermainkan Islam. Bukan surah Al-Baqarah yang mendorong PAS menggugurkan negara Islamnya," katanya.
Menurut Dr Mahathir ( kiri ), Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz sendiri yang berkata, yang mendorong PAS ialah ketakutan orang bukan Islam kepada negara Islam.
"(Justeru) untuk kemenangan pilihan raya ketakutan orang bukan Islam mesti dihilangkan dengan menggugurkan perjuangan Islam PAS," katanya.
Dr Mahathir juga mempersoalkan tindakan Nik Aziz yang didakwa menolak Umno yang tidak menyokong idea itu tetapi sedia akur pada pendapat DAP dan pemimpinnya.
"Penyokong PAS akan turut di mana sahaja pemimpin PAS bawa mereka. Gugur Islam pun mereka akan undi PAS," kata Dr Mahathir.
Baru baca al-Baqarah
Selepas muktamar PAS ke-57 minggu lalu mengetengahkan idea negara berkebajikan, parti itu dikritik hebat pemimpin BN yang mendakwa PAS mengetepikan konsep negara Islam.
Nik Aziz ( kanan, berserban ) bagaimanapun dilaporkan berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat selari dengan kehendak Islam.
Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya dalam bentuk material sebaliknya boleh dalam bentuk kebaikan seperti tindakan Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.
Menulis dalam blognya semalam, Dr Mahathir mengkritik Nik Aziz yang didakwanya menggugurkan konsep negara itu dan hukum hudud dengan berpandukan al-Quran dan hadis.
"Apakah Nik Aziz baru saja baca surah al-Baqarah dan sedar yang negara Islam PAS menimbul salah faham dan menakutkan pihak tertentu?" soalnya dengan nada menyindir.
"Jikalau kerana kesedaran ini akan menakutkan pihak tertentu (orang bukan Islam - Karpal Singh) maka PAS menggugur negara Islam PAS, maka benarlah yang pengguguran ini bertujuan untuk menghapuskan ketakutan mereka ini, supaya mereka akan sokong PAS dalam pilihan raya, dan bukan kerana agama membenarkan atau tidak."