Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perhimpunan besar bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil pada Julai depan nampaknya menggentarkan sesetengah pemandu teksi sekitar ibu kota.

Dalam tinjauan pendapat Malaysiakini di sekitar Bangsar, Kuala Lumpur semalam, majoriti pemandu teksi yang ditemui menyuarakan rasa tidak senang dengan rancangan mengumpulkan puluhan ribu aktivis dan penyokong pembangkang pada tarikh itu.

Rata-rata mereka menjangkakan akan hilang pelanggan ekoran kesesakan teruk jalan raya, seperti pengalaman dalam demonstrasi-demonstrasi sebelum ini.

NONE Menurut Ismad Sheikh Abd Tawab ( kiri ), demonstrasi besar biasanya akan menimbulkan ketakutan kepada pelanggan mereka, sekali gus menjejaskan mata pencariannya.

"Bila keadaan OK, hendak naik teksi orang tidak takut. Bila jadi macam ini (demonstrasi), ada polis sana sini, terhalanglah (pergerakan). (Ini) gangguanlah." kata Ismad yang telah sepuluh tahun bekerja sebagai pemandu teksi.

Ismad, 48, turut memberitahu, demonstrasi selama dua jam sahaja sudah cukup untuk menjejaskan sekitar RM40 pendapatan mereka.

Semalam, selain persatuan pemandu teksi, Pemuda Umno, persatuan penjaja dan beberapa NGO membuat laporan polis di Kuala Lumpur Lumpur dan Putrajaya meminta polis bertindak awal terhadap penganjur demo BERSIH.

Sikap orang awam

Dilaporkan aduan itu dibuat kerana bimbangkan keamanan tergugat dan mata pencarian penjaja dan pemandu teksi sekitar ibu negara terjejas.

PKR dilaporkan mensasarkan 60,000 peserta menyertai perhimpunan itu manakala PAS pula mengerahkan lebih sejuta anggotanya daripada seluruh negara turun bersama-sama untuk menghandar memorandum kepada pihak istana pada tarikh berkenaan.

NONE Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi Rosli Mohamad ( kanan ) pula berpendapat, kesesakan lalu lintas pada hari itu akan diburukkan lagi dengan sikap orang awam sendiri.

"Memang tidak setuju (demonstrasi). Dia (perserta) buatkan kesesakan lalu lintas. Orang awam akan takut. Malaysia ini satu saja (masalah), apa pun yang berlaku dekat tepi jalan semua akan tengok," katanya.

Rosli, 43, menambah, berdasarkan pengalamannya membawa teksi pada hari demonstrasi sebelum ini, separuh daripada sumber pendapatannya akan hilang begitu sahaja.

"Tengok macam kes (demonstrasi) Hindraf dulu... Satu hari tidak boleh buat kerja. Bukan kita tidak suka. Kalau dari pagi sampai malam, kesan (pendapatan) jadi separuhlah," katanya.

Bagi pemandu teksi berbangsa India, Prahbakaran Velaithian pula, memandu menggunakan teksi sewa membuatkan beliau tidak berani mengambil risiko tiada pelanggan.

'Tak masuk kawasan, tak ada hasillah'

"Rugi ada, letih ada, untung juga kurang. Upah tidak ada, kena bayar sewa (teksi)," kata lelaki 48 tahun itu.

NONE Mohd Fazli Abdullah ( kiri ), 55 pula berkata, demonstrasi akan memberikan beban tambahan terhadapnya yang terpaksa keluar awal pagi untuk mengambil penumpang.

"Penumpang pun banyak merungut sebab sampai lambat, lagi pun meter (tetap) bergerak (walaupun kenderaan tidak bergerak)," katanya sambil memberitahu terpaksa mencari laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan.

Mohd Fazli kebiasaannya mendapat pendapatan antara RM50 sehingga RM 60 sehari.

Manakala Suthagar Subramaniam , 32, pula berkata walaupun mereka boleh beroperasi di kawasan lain sewaktu demonstrasi berlangsung, mereka masih menghadapi masalah mendapatkan penumpang.

"Bukan semua tempat (teksi) boleh behenti," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, bagi seorang pemandu teksi warga emas Abdul Rahman Lambak , beliau tidak langsung ambil peduli langsung dengan perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan kumpulan NGO itu.

"Kalau rajin dapat banyak (penumpang). Kalau kita tidak masuk ke situ (kawasan perhimpunan) tidak adalah (hasil)," kata Abdul Rahman, 65.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS