Datuk Seri Najib Razak berkata, umat Islam sewajarnya memperbetulkan ehwal mereka dahulu sebelum mampu menjadi obor petunjuk kepada umat manusia sebagaimana umat Islam satu ketika dahulu.
"Ternyata masalah umat Islam adalah masalah dalaman yang walaupun tampak seolah sukar dikawal urus tetapi jalan penyelesaiannya memang ada dan wujud dengan kembali berpegang kepada ajaran Islam sebenar," kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam Di Nusantara di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Koh Tsu Koon.
Najib turut mempersoalkan kenapa umat Islam sebagai umat yang bermaruah sanggup membenarkan Islam dipandang remeh dan diperkotak-katik lantaran ketidakmampuan mengurus masalah umat Islam itu sendiri.
"Persoalannya di sini, kenapa pihak ketiga yang selalunya bukan negara Islam diberi kepercayaan dan sandaran untuk menjadi wasit rujukan atau pertelingkahan?
"Kenapakah rasuah, salah tadbir, salah urus dan ketidakcekapan sering menandai pengurusan negara Islam? Sedangkan kita tahu ajaran Islam seperti mana terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasul mampu menjadi panduan yang jelas," katanya.
Perdana Menteri berkata, mutakhir ini keharmonian di kalangan penganut agama yang berbeza di Malaysia sedikit tercalar kerana ada pihak yang mahu mempolitikkan agama sama ada di kalangan penganut Islam atau bukan Islam.
Beliau berkata, dalam sebuah negara yang berbilang kaum, polemik agama harus diurus dengan berhemah dan cermat kerana perbincangan berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak.
- Bernama