Wisma Putra menyifatkan laporan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kazakhstan bagi merisik perkahwinan anak perempuannya dengan menggunakan dana awam sebagai tidak berasas.
Sebaliknya dalam sepucuk surat kepada Malaysiakini , Jabatan Penerangan dan Diplomasi awam, Kementerian Luar menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Kazakh Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.
Menurut surat itu, lawatan itu juga kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun.
Namun, paling ketara, surat Wisma Putra itu tidak membuat sebarang penafian bahawa Najib dan keluarganya ada menziarahi bakal besannya semasa lawatan rasmi di Kazakhstan.
Sebelum ini dalam laporan Malaysiakini , ahli parlimen PAS Dzulkefly Ahmad mempersoalkan lawatan itu yang disifatkannya sebagai salah dari segi moral.
Anak Najib - Nooryana Najwa dilaporkan akan bertunang dan berkahwin dengan anak seorang pembesar Kazakhstan.
Wisma Putra dalam kenyataan medianya lewat petang semalam berkata lawatan Najib ke Kazakhstan pada 5 dan 6 Jun adalah juga lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara itu dan sebagai membalas lawatan Nazarbayev ke Malaysia pada Jun 2006.
Rundingan dua hala
Ia menyatakan semasa lawatan itu, Najib telah mengunjungi Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan Perdana Menteri Massimov Karim.
"Lawatan itu tidak hanya meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, tetapi juga menghasilkan banyak peluang perniagaan untuk komuniti perniagaan Malaysia," katanya.
Ia menambah bahawa Kazakhstan adalah juga rakan dagang terbesar Malaysia di kalangan negara-negara di Asia Tengah.
Keputusan bagi Kazakhstan menjadi hos WIEF ke-7 pada tarikh itu dicapai lebih setahun lalu, ketika Malaysia menjadi tuan rumah bagi siri keenam WIEF pada Mei, 2010, katanya.
"Secara keseluruhan, kunjungi itu telah menghasilkan perkembangan besar dalam hubungan dua hala Malaysia-Kazakhstan yang saling menguntungkan.
"Ia juga telah dapat memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara serta memupuk kerjasama dan dialog yang bermakna antara negara-negara membangun terutama negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)," tambah kenyataan itu.
Seperti surat yang dihantar kepada Malaysiakini , kenyataan media itu juga tidak merujuk sama ada Najib dan isterinya, datin Seri Rosmah Mansor ada menziarahi bakal besannya semasa lawatan rasmi di Kazakhstan itu.