Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasuah balak: KM Sarawak disiasat SPRM
Diterbitkan:  Jun 9, 2011 6:00 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berhubung dakwaan rasuah balak.

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM kini dalam proses mengumpul maklumat berhubung perkara berkenaan.

NONE "Saya akan mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang ini (isu berkenaan). Seperti saya katakan dulu, kami sedang menyiasat Taib Mahmud dan apa jua tindakan kita, kita tidak dapat mendedahkan buat masa ini," katanya pada majlis menandatangani dan menyerahkan ikrar integriti korporat kepada SPRM di Kuala Lumpur, hari ini.

Abu Kassim menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan sebagaimana dilakukan Agensi Pencegahan Rasuah Switzerland, yang baru-baru ini membekukan aset Taib Mahmud atas dakwaan rasuah balak.

Menurut sumber berita asing, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey, dilaporkan menyedari tentang dakwaan itu dan telah mengemukakan maklumat mengenai aset Taib di Switzerland kepada badan kawal selia, FINMA (Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland) untuk siasatan lanjut.

azlan Mengulas pemantauan projek mega, Abu Kassim berkata, SPRM akan terus memantau projek-projek berkenaan dari masa ke masa.

"Tanggung jawab kami adalah untuk memantau sebarang projek dari masa ke masa. Saya tidak boleh nyatakan projek mana tetapi tugas kami memantau dan mencegah rasuah dalam kerajaan," katanya ketika ditanya sama ada SPRM telah mengenalpasti projek lain.

Setakat ini, SPRM dijangka memantau tiga projek mega iaitu Menara Warisan Merdeka setinggi 100-tingkat yang bernilai RM5 bilion; sistem transit laju massa (MRT) bernilai RM36 bilion; dan projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM6.7 bilion.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS