Fasa kedua Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia anjuran PKR akan menggempur kerusi-kerusi milik BN dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Dalam kenyataan medianya, ketua penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei berkata fokus parti itu adalah di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Pandan, Sungai Besar, Tanjong Karang dan Sepang.
Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia Fasa 2 atau JELAS akan bermula pada 11 Jun di Tanjong Karang.
"PKR Selangor memilih untuk memulakan kempen di Tanjong Karang kerana kerusi parlimen itu dipegang oleh timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.
"Kami yakin pelancaran itu akan memberi tamparan kepada seluruh jentera Umno-BN, khususnya ketika ini di mana mereka masih bergaduh sesama sendiri,” kata Shuhaimi.
Noh ( kiri ) sebelum ini kerap-kali ‘menyerang’ pentadbiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan mendapat publisitu meluas di akhbar arus perdana.
Antara isu yang digunakan untuk menyerang kerajaan Pakatan Selangor termasuk dakwaan perlombongan pasir haram yang kemudiannya tiba-tiba lenyap dan yang terbaru dakwaan Yayasan Selangor tidak mempunyai dana yang mencukupi.