Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengecam kenyataan Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed yang menyarankan golongan isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’.
Timbalan presidennya, Musa Awang menyifatkan kenyataan Dr Rohaya itu sebagai satu kenyataan yang "biadap dan celupar" kerana meletakkan diri seorang isteri serendah seorang pelacur.
"Isteri bukanlah seorang pekerja seks bagi suami. Tugas isteri melayan suami adalah suatu ibadah yang diberi ganjaran pahala dari Allah.
"Walaupun suami diwajibkan memberikan nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit, ia bukanlah sebagai ganti kepada khidmat seks yang isteri berikan.
"Ia adalah suatu amanah dan tanggungjawab kerohanian yang telah ditetapkan oleh agama, yang juga diberi ganjaran pahala oleh Allah," katanya.
Pelacur kelas pertama
Minggu lalu, Dr Rohaya dilapor mengingatkan seseorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi.
Katanya, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami antara punca utama kegagalan rumah tangga dan punca suami beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Musa berkata kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang wanita yang berpendidikan kerana ia "menjatuhkan imej wanita walaupun mungkin niatnya baik supaya isteri mentaati suami".
"Bukan menjadi kelaziman masyarakat Melayu Islam untuk melanggan pelacur, cuma hanya segelintir sahaja yang berbuat demikian.
"Tidak semua lelaki tahu bagaimana servis seorang pelacur kelas atas. Jadi kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah semula lelaki Melayu Islam melanggan pelacur," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru kepada semua wanita supaya tidak menyertai kelab tersebut kerana dari awal lagi telah menampakkan kecelaruan halatuju dan matlamatnya, serta merendah-rendahkan martabat wanita.
Menurutnya, penubuhan kelab itu tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah perceraian yang dikatakan berlaku setiap 15 minit atau anak luar nikah yang lahir setiap 17 minit.
Sebaliknya, kelab seperti ini sepatutnya melebihkan usaha yang padu ke arah melahirkan suami, bapa, anak lelaki dan muslimin mithali sebagaimana yang dipandu oleh Islam.