Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru kerajaan supaya mendedahkan sama ada tindakan Astro untuk menaikkan harga bagi pakej televisyen berbayar adalah mengikut perjanjian yang ditetapkan.

NONE Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pengguna perlu diberitahu apakah perkara yang dipersetujui dengan Astro bagi membolehkan pemegang lesen tunggal bagi penyiaran televisyen berbayar itu menaikkan harga perkhidmatannya.

"Sedangkan kadar tol juga perlu dipersetujui oleh kerajaan dalam perjanjian... Kalau kerajaan tidak ambil tindakan serius, kami akan boikot Astro," katanya lagi dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berhubung tindakan Astro untuk menaikkan harga bagi pakej perkhidmatannya sehingga RM15 sebulan yang didakwa tidak mesra pengguna.

Sebaliknya, Astro boleh mencontohi langkah kerajaan yang tidak menaikkan harga bahan api demi kepentingan rakyat, kata Tunku Azwil.

Tangguhkan kenaikan 

"Jika kerajaan boleh tangguh kenaikan harga, kenapa Astro tidak tunjuk rasa terima kasih kerana dapat monopoli, tangguh kenaikan harga yang ingin dibuat.

astro satellite dish "Pulangan daripada yuran langganan saja sudah cukup untuk menampung kos operasi. Apa yang mereka mahu adalah untuk tambah keuntungan, bukan untuk tampung kos operasi," katanya lagi.

Beliau mendakwa, perbelanjaan modal yang dilaburkan oleh Astro sejak mula bersiaran telah habis dibayar malah iklan yang diterima penyiar itu juga telah bertambah.

Jelasnya, perbelanjaan periklanan di Malaysia mengikut AC Nielsen pada tahun 2010 berjumlah lebih RM9 bilion dan stesen televisyen lain hanya mendapat RM2 bilion dari kadar tersebut.

“Stesen televisyen (lain) mengambil lebih kurang 2 bilion yang terpaksa sama-sama dikongsi antara lebih kurang tujuh stesen televisyen,” tambahnya.

Katanya lagi, sebanyak 20 peratus daripada saham Astro pula terdiri daripada saham perseorangan yang juga telah cukup untuk memberi keuntungan.

NONE “Mereka mampu berbuat demikian kerana mereka banyak (saluran),” kata Tunku Azwil.

Kadar periklanan Astro yang rendah, malah serendah kadar untuk iklan radio juga dilihat sebagai satu ancaman kepada stesen televisyen lain, katanya lagi.

Bunuh kadar iklan televisyen

“Kadar periklanan Astro pada hari ini telah membunuh kadar (iklan) televisyen yang juga mengharapkan pulangan semata-mata dari periklanan.

"(Astro) dengan sendirinya, dengan perlahan-lahan akan membunuh stesen yang lain,” katanya.

NONE Ketika ditanya, Tunku Azwil mengakui bahawa perkhidmatan yang disediakan itu bukanlah keperluan utama bagi pengguna seperti bekalan air dan elektrik.

"(Kalau) tak ada Astro, (pengguna) tak mati pun. Bukanlah pengguna tak ada hiburan.

"Tapi (kita bantah) kerana pengguna tak mahu dipergunakan untuk belanja berlebihan untuk dapatkan sedikit hiburan," katanya lagi.

Sehubungan itu, PPIM turut melancarkan satu kempen bagi membantah kenaikan bayaran Astro. Kempen tersebut bermula hari ini di laman web persatuan itu.

“Kami akan ambil tindakan boikot Astro. Kami akan guna kempen ‘No to Astro,” kata seorang lagi wakil PPIM, Mustafa Hamzah.

Tambahnya, persatuan itu juga mendakwa telah menerima "ribuan" aduan dari pengguna yang tidak berpuas hati dengan sistem perkhidmatan Astro.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS