Muktamar PAS hari ini meluluskan usul mengutuk "fitnah" melalui video lucah yang dilemparkan ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Usul yang diluluskan sebulat suara itu turut mengutuk tindakan BN yang didakwa telah membenarkan video lucah berkenan ditayangkan di saluran televisyen dan media cetak.
Usul berkenaan juga mengutuk tindakan ulama rasmi kerajaan yang disifatkan tidak tegas dalam mengutuk tindakan yang tidak berakhlak itu.
Usul berkenaan dibentangkan oleh wakil dewan ulama Mohd Fadzil Mohd Noor.
Menyokong usul tersebut, perwakilan Ipoh Barat, Norazli Musa berkata, budaya fitnah perlu dihentikan oleh pihak berwajib.
Beliau menggesa para mufti supaya menghalang penyebaran fitnah itu.
Hias cara Islam
Dalam masa yang sama, beliau turut menempelak Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan menyifatkan sebagai 'mufti poco-poco'.
"Mereka seolah-olah membisu dengan budaya kotor (itu) yang mencemar akhlak rakyat yang dikenali dengan sopan santun.
"Mereka berdiam diri dengan isu ini seolah-olah redha (tersebar) dalam budaya Melayu," katanya.
(Harussani pada 31 Mac lalu dilaporkan menafikan berdiam diri. Sebaliknya, beliau mengaku sudah bersuara bahawa rakaman video seks itu mengaibkan Anwar kerana tiada saksi.)
Norazli berharap isu fitnah video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang itu dihentikan dengan segera.
Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat PAS Hanipa Maidin pula membidas BN yang didakwanya menggunakan kaedah "matlamat menghalalkan cara" dengan tidak menghitungkan dosa dan pahala.
Beliau mendakwa BN menggunakan beberapa cara untuk membolehkan rakyat mempercayainya dengan "menghiasi" perbuatan mereka dengan "cara Islam" dengan cara sumpah.
"(Sumpah itu) disebut dengan nama Allah. Orang kampung cakap nama Allah, takkan tak percaya. Selepas itu, mereka menggunakan al-Quran dan dibuat di masjid," katanya yang turut menyokong penuh usul tersebut.