Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Awang Adek Hussin mendakwa kira-kira 10,000 anggota PAS, golongan atas pagar dan kaum belia yang mencapai umur mengundi di Kelantan menyertai Umno selepas pilihan raya umum 2008.
Beliau berkata, mereka berbuat demikian setelah kecewa dengan kegagalan PAS membangunkan Kelantan.
"Ada menyertai Umno (cawangan) secara terbuka dan senyap melalui tokoh-tokoh tertentu untuk mengelak daripada disabotaj anggota PAS di peringkat kampung,” katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Kampung Kuau di Bachok, hari ini.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata Umno sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk menyertainya.
Ketua Umno Bahagian Bachok itu juga yakin BN mampu merampas tampuk pemerintahan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.
Oleh itu, katanya semua jentera pilihan raya BN mesti bersiap sedia dari sekarang dan kikiskan perasaan tidak berpuas hati sesama sendiri yang boleh melemahkan persiapan.
- Bernama