Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengajak semua anggota PAS mempertahankan kempat-empat negeri Pakatan Rakyat yang dimenang pada pilihan raya umum lalu dengan sepenuh hati.
"Pada hari ini juga, marilah kita sama-sama berikrar untuk mempertahankan negeri Kelantan dan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang telah kita tadbir bersama dengan sepenuh kudrat yang kita ada.
"Biarlah keringat kita membahasai bumi tempat berpijak, biarlah tenaga kita bergelora dengan semangat yang tinggi. Kita akan pertahankan kemenangan yang telah kita kecapi selama ini dengan izin Allah SWT," katanya.
Ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam muktamar parti itu ke-57 di Gombak, Abdul Hadi juga dilihat cuba menyuntik semangat kepada anggota PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.
Turut hadir di dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad di Kuala Lumpur yang penuh sesak dengan perwakilan, pemerhati dan para tetamu adalah para pemimpin dari parti rakan Pakatan Rakyat termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail and Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Abdul Hadi pada ucapannya juga mengarahkan seluruh jentera parti itu bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 itu mulai sekarang.
Paling penting katanya, jentera PAS pelu membuka bilik gerakan dan memenuhkannya dengan aktiviti ke arah mendekatkan parti kepada pengundi.
"Walau bila pun tarikhnya, saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera PAS untuk bersiap sedia sebaik sahaja muktamar kita selesai, dengan membuka bilik gerakan dan aktivitinya dengan penuh taktikal, seterusnya menyiapkan gerak kerja secara berstrategi," katanya.
Perubahaan drastik
Abdul Hadi juga mengerahkan supaya 70 peratus aktiviti PAS di peringkat dewan dan akar umbi ditumpukan kepada usaha mendekati pengundi, terutamanya golongan atas pagar yang belum membuat keputusan.
Dalam masa yang sama, menurut Abdul Hadi, jentera di peti-peti undi wajar mengalami perubahan drastik dengan kebolehan mengenalpasti pengundi dalam lingkungan mereka.
Mengambil tema "Membangun Negara Berkebajikan", ucapan Abdul Hadi juga berkisar menegaskan komitmen PAS merealisasikan bentuk pemerintahan itu yang didakwanya telah diperkenalkan di negeri-negeri Pakatan, termasuk Perak dan Terengganu yang pernah dimenangi mereka.
"Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan. Contohnya dengan mewajibkan bayaran zakat kepada orang Islam, dan cukai kepada bukan Islam dengan kadar kemampuan dan galakan yang meningkatkan produktiviti pendapatan mereka.
“Kerajaan juga tidak boleh menyekat kekayaan yang halal, tidak menipu, tidak menindas dan tidak rasuah,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan.
"PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara," katanya.
Namun menurut Abdul Hadi pemerintahan BN sebaliknya adalah "kerajaan yang berniaga" dengan rakyatnya" melalui agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa mendapat hasil melalui hidup rukun hidup rakyat.
Negara berkebajikan
"Rakyat yang berniaga pula terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata," katanya.
Di akhirnya, menurut Abdul Hadi, GLC sedia ada akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan.
Katanya lagi, negara berkebajikan yang ingin dicapai Pakatan bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata kerana menerusi Buku Jingga, Pakatan tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan di sana-sini tetapi jiwa mereka kosong.
“Negara yang kita mahu ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita.
“Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain.
“Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini,” katanya