Kerajaan persekutuan mengakui keputusan menaikkan tarif elektrik yang diumumkan semalam mengambil kira kepentingan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang dan bukannya soal populariti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya kesan akan lebih buruk kepada negara jika kerajaan terus mengekang kenaikan harga.
"Kita bukan ambil kira soal populariti atau pun tidak. Kita buat keputusan berdasarkan kepada kenyataan yang perlu kita dihadapi. Saya percaya semua rakyat pun tahu dan ini bukan fenomena Malaysia tetapi fenomena global.
"Ini bukan soalan populariti. Sudah tentu, kita tidak akan jadi popular apabila harga apa-apa sahaja dinaikkan.
"Tetapi kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab. Jika kita kekalkan harga rendah dan membiarkannya memberi kesan kepada perbelanjaan persekutuan hanya untuk menggembirakan orang ramai, pada jangka panjang rakyat akan merana dan ini tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan,” kata Muhyiddin.
Bercakap kepada wartawan selepas melancarkan bangunan baru Suruhanjaya Tenaga di Putrajaya, katanya negara terpaksa berdepan dengan harga tenaga yang terus melambung.
"Ini bukan mengenai populariti ataupun tidak. Ini mengenai menghadapi kenyataan, ini fenomena global. Harga minyak mentah seluruh dunia sudah meningkat,” katanya.
"Jadi adakah kita mahu jadi popular dalam jangka pendek dan membiarkan rakyat merana dalam jangka panjang?” katanya.
Menyerap impak
Meskipun Muhyiddin berkata kerajaan akan cuba menyerap impak harga pasaran, namun terdapat had sebanyak mana yang mungkin dilakukan kerajaan.
"Kita mungkin popular buat sementara sahaja kalau kita tidak buat apa-apa (naikkan harga) tetapi jangka panjangnya kesannya ialah buruk kepada negara kerana kita kena tanggung semua beban.
"Rakyat semua suka hati, akhirnya rakyatnya juga yang menanggung sengsara kerana kerajaan waktu itu sudah berhadapan dengan situasi ekonomi yang teruk dan ia tidak boleh menguruskan belanjawan yang baik," katanya.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kerajaan sebenarnya begitu bertanggungjawab dan prihatin terhadap rakyat dan masa depannya kerana terdapat batasan untuk kerajaan menanggung subsidi.
Beliau memberi jaminan bahawa kadar baru tarif elektrik yang berkuatkuasa esok tidak akan memberi kesan kepada kadar inflasi sekarang iaitu 3.5 peratus.
Muhyiddin juga meminta semua pihak terutamanya pengguna domestik supaya menggunakan tenaga elektrik dengan lebih efisien.