Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Budaya kecil hati, pujuk hanya rugikan Umno
Diterbitkan:  May 29, 2011 5:09 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Satu modul akan dirangka bagi "merawat" kekecewaan anggota Umno yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya kerana ia boleh merugikan parti jika tidak ditangani, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid Umno VP Ahmad Zahid yang ditugaskan merangka modul itu berkata, anggota Umno sebelum ini banyak menghabiskan masa selama beberapa hari dalam tempoh berkempen untuk memujuk anggota yang merajuk akibat tidak terpilih daripada menumpukan perhatian kepada kempen bertemu pengundi.

"Modul untuk menghakis budaya berkecil hati dan merajuk itu akan dirangka dalam simulasi pilihan raya umum olok-olok tidak lama lagi," katanya, sambil menambah beliau ditugaskan Majlis Tertinggi Umno sebagai pengerusi dan penyelaras untuk simulasi pilihan raya di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya akan tentukan antara modulnya untuk memastikan supaya jentera parti diwujudkan awal dan dihakiskan soal-soal sakit hati, jauh hati dan retak hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata budaya itu perlu dihentikan segera kerana ia boleh dianggap sebagai perbuatan sabotaj selain membolehkan anggota Umno memberi fokus kepada pilihan raya.

"Bila kerusi Parlimen dan DUN dibubarkan, masa tu bakal-bakal calon dan wakil rakyat berkeliaran, yang wakil rakyat nak lobi supaya kekal dan bakal calon lobi untuk dipilih. Sampai hari penamaan calon yang tak dapat merajuk.

NONE "Jadi, kalau kempen ditetapkan 10 hari, lima hari pertama pujuk untuk orang yang tak dapat manakala lima hari kedua baru kempen untuk pilihanraya, jadi ketika itu parti lawan masuk mempengaruhi pengundi," katanya, sambil menambah bahawa beliau bercerita melalui pengalaman.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid menegur ahli dan pemimpin Umno

yang menyalahguna media baru seperti Facebook, Twitter dan blog untuk mengecam sesama ahli dan bermusuhan.

Katanya, media baru itu seharusnya digunakan sebaiknya untuk mendekati pengundi dengan memberikan penjelasan dasar parti seterusnya melemahkan parti lawan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS