Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerahkan hujahan bertulis setebal 344 muka surat kepada Suruhanjaya Siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.
Peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili SPRM, menyerahkan dokumen itu kepada urusetia suruhanjaya berkenaan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Shah Alam.
Rabu lalu, Pegawai Pengendali yang terdiri daripada Amerjeet Singh, Kwan Li Sa dan Awang Armadajaya Awang Mahmud serta Majlis Peguam telah menyerahkan dokumen hujahan masing-masing.
Pada 10 Mei lalu, Pengerusi Suruhanjaya yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen mengarahkan semua pihak menghantar hujahan masing-masing setelah selesai memanggil 70 saksi sejak memulakan prosiding pada 14 Februari lalu.
Teoh, 30, setiausaha politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.
Selain Foong, suruhanjaya turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.
Sepanjang persidangan, pelbagai saksi dipanggil termasuk pakar patologi, psikiatri, anggota keluarga dan pegawai SPRM selain terdapat beberapa fakta baru yang tidak didedahkan pada inkues mengenai kematiannya di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini.
Anggota suruhanjaya akan menyerahkan hasil siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin 24 Jun ini.
- Bernama