Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) berazam turun padang ke seluruh Malaysia bagi mengenalpasti "orang lama" untuk membantu memenangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Presidennya Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata, tindakan itu dijangka akan dimulakan selepas permukiman pertama untuk sesi ini yang diangka pada Julai.
"Orang lama pun ada peranannya, bukan sahaja orang muda," katanya sambil menyifatkan usaha mereka sebagai pelengkap kepada jentera sedia ada BN.
Bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Abdul Aziz berkata, bagi memenangkan calon BN dalam pilihan raya umum yang akan datang, MUBARAK buat masa ini perlu mengumpulkan maklumat dan data-data berkaitan terlebih dahulu.
"Kita akan kenalpasti di setiap kawasan, di negeri mana. Ini sebagai usaha sampingan membantu BN mencapai kemenangan," kata bekas ADUN Mentakab itu.
Sementara itu, mengulas peluang BN ekoran perkembangan politik semasa seperti kenaikan harga barang yang dilihat tidak menguntungkan BN, Abdul Aziz berkata perkara ini kini semakin berubah.
Menurutnya, ia merupakan kesan daripada program tranformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Saringan ketat untuk calon
"Bagaimanapun, beban (pulihkan sokongan) ini tidak harus pada Datuk Seri Najib sahaja.
"Sebab itu perlu calon yang ada populariti, calon yang boleh menang. (Mereka) Tidak semestinya ketua bahagian (parti)," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Aziz menyarankan supaya BN memperkenalkan sistem saringan yagn lebih ketat dan terperinci untuk memastikan calon yang dipilih selari dengan kehendak di peringkat bawahan.
Sementara itu, ditanya tentang pengurangan undi Melayu kepada BN dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, Abdul Aziz percaya ia dapat dijana semula melalui idea 1Melayu yang dilontarkan baru-baru ini.
Ini kerana, tambahnya, penyatuan orang Melayu merupakan tunggak kepada penyatuan bangsa Malaysia.
Bercakap selepas mempegerusikan mesyuarat majlis tertinggi MUBARAK, beliau juga mengumumkan melantik beberapa biro baru bagi melancarkan gerak kerja NGO itu untuk membantu BN.
MUBARAK yang ditubuhkan pada tahun 1993 dianggotai oleh bekas-bekas wakil rakyat BN. Majlis itu mempunyai keahlian kira-kira 1,000 orang setakat ini.