Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) positif masih ada sinar harapan untuk usaha perpaduan PAS-Umno kerana hasrat itu masih terbenam di lubuk hati sebahagian pemimpin kanannya.
Enggan menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon timbalan presiden PAS, presidennya Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kedua-duanya 'OK'.
"Nasharudin OK. Tuan Ibrahim OK. Masing-masing ada perspektif yang berbeza. Tetapi saya rasa jauh di lubuk hati kerjasama itu wujud.
"Cuma hendak merungkainya sahaja," katanya ketika ditanya sejauh mana keputusan pemilihan PAS akan mempengaruhi kerjasama kedua-dua parti Melayu itu di masa akan datang.
Pemilihan PAS kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Nasharudin sebagai penyandang, Tuan Ibrahim dan bekas naib presidennya Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, antara kesemua mereka, Mohamad dilihat paling anti-Umno, yang berkemungkinan menutup rapat pintu rundingan dengan Umno sekiranya berjaya memenangi kerusi nombor dua itu.
Kesal anggota miskin tegar
Nasharudin pula sebelum ini dikaitkan dengan 'rundingan sulit' dengan Umno semasa pemerintah bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Abdul Aziz bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada anggota PAS sendiri bagi menentukan pemimpin pilihan mereka.
Ini kerana, tambahnya, beliau belum melihat profil kesemua calon yang bertanding dalam pemilihan parti Islam itu kali ini.
Ditanya sekali lagi tentang siapakah calon pilihannya, sambil ketawa, beliau tetap enggan menyatakannya dengan jelas.
Sementara Bernama melaporkan, Abdul Aziz berpendapat kerjasama Umno dan PAS boleh diteruskan sekiranya ada persefahaman antara dua parti itu.
"Kita akan tengok pada pemilihan mereka (PAS) selepas ini, sama ada profil pucuk pimpinan yang dipilih itu masih mirip untuk menentukan masa depan orang Melayu atau sudah kurang.
"Tapi secara jangka panjang, saya rasa ianya patut diwujudkan dan proses ini harus diteruskan," beliau dilaporkan sebagai berkata oleh agensi berita nasional itu.
Muktamar PAS akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini di markaz tarbiahnya di Gombak.
Sementara itu, Abdul Aziz turut menyatakan kekesalan ekoran terdapatnya anggota MUBARAK yang didakwa masih berstatus miskin tegar dan harus mendapat pembelaan.
Selaras dengan itu, tambahnya, majlis yang dipimpinya itu menubuhkan Gabungan Koperasi MUBARAK bagi merancakkan ekonomi negara, sekali gus, membantu anggotanya.