Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Siasatan terhadap empat pengikut Syiah yang ditahan di Sri Gombak, Kuala Lumpur  sewaktu menyambut ulangtahun kelahiran puteri Rasulullah SAW - Fatimah Az-Zahra-semalam dijangka selesai hari ini.

NONE Mereka juga dijadualkan akan di bawa ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat untuk sebutan kes petang ini.

Keempat-empat pengikut tersebut iaitu Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz, Radin Ahmad Faizul Radin Mohd Hambali, Mohd Asyraf Ahmad dan Syed Mohd Shafik Syed Hussin disiasat mengikut peruntukan seksyen 12 (C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Peruntukan itu menyebut mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa sah, atau mengingkari, melanggar, atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa adalah melakukan kesalahan.

Di Selangor, fatwa negeri menyatakan Syiah adalah ajaran yang terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

NONE Peruntukan itu juga menyebut jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Menjelaskan penangkapan pengikut Syiah itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Marzuki Husin berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai majlis berkenaan berdasarkan risalah yang diedarkan.

Katanya beliau menganggarkan seramai 1,000 tetamu yang terdiri daripada orang awam dan orang kurang upaya (OKU) dijangka hadir pada majlis jamuan yang bermula jam 12.30 tengahari sehingga 4 petang.

Menyelitkan dakyah

Seramai 30 penguatkuasa JAIS dan 20 anggota polis serta pegawai Majlis Perbandaran Selayang terlibat dalam serbuan semalam, kata Marzuki.

Ditanya sama ada sambutan memperingati Fatimah yang juga isteri kepada Saidina Ali merupakan satu kesalahan, Marzuki berkata pihaknya tidak mahu umat Islam dipengaruhi.

NONE "Bila (majlis) dianjurkan oleh puak Syiah ini, jadi nanti (umat Islam) akan terikut-ikut dengan gerakan fahaman ini... Kita takut program ini, mereka akan menyelit dakyahnya dan (umat Islam) akan terpengaruh.

"Sebagaimana yang difatwakan, kita tidak mahu terikut-ikut dengan ajaran yang menyalahi Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan menyita markas tempat mereka berkumpul untuk menghalang penyebarannya, Marzuki berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian sebaliknya ia di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Selayang.

Bahkan katanya, majlis jamuan semalam diadakan di sebuah padang awam yang terletak di hadapan markas pengikut ajaran tersebut.

Bagaimanapun, Marzuki menegaskan pihaknya sentiasa memantau aktiviti mereka dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan terhadap pengikut mereka sekiranya menerima aduan mengenainya.

NONE Menurutnya, ajaran tersebut 'sudah lama' dan setakat ini pihaknya mengenalpasti hanya tempat mereka beroperasi menyebarkan ajaran Syiah.

Katanya, JAIS turut memantau 'banyak' ajaran sesat yang lain di negeri ini antaranya Islam Jamaah dan ajaran Rasul Melayu.

Selain pemantauan, Marzuki berkata pihaknya juga mengadakan seminar dan ceramah bagi memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung fahaman Syiah dan ajaran sesat yang lain.

Sementara itu, ketua penguatkuasa JAIS Mohd Rais Rasid ketika dihubungi Malaysiakini  memberitahu kes bagi keempat-empat pengikut Syiah itu akan disebut di mahkamah rendah syariah itu  7 Jun ini.

ADS