Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 11, P Ramasamy hairan bagaimana seorang pemimpin Gerakan boleh jadi begitu yakin dengan badan kehakiman sehingga boleh meramalkan dia akan menang perbicaraan walaupun belum ke mahkamah.
Dan memandangkan pengerusi Gerakan negeri, Datuk Teng Hock Nan begitu yakin, maka beliau sepatutnya menyaman kerajaan negeri yang menuduhnya bersubahat dalam satu penipuan penjualan tanah bernilai jutaan ringgit, kata Ramasamy (kanan).
Ia membabitkan seorang ahli perniagaan, Tan Hak Ju, dan sebidang tanah kuari di Seberang Perai, yang berlaku semasa pentadbiran BN sebelum 2008, ketika Teng menjadi exco kerajaan negeri ketika itu.
Tan telah menyaman kerajaan negeri kerana tidak memproses permohonan tanahnya dengan betul dan kemudiannya membatalkan apabila didapati ia akan dimiliki pihak lain.
Teng kesal kerana kerajaan negeri, khususnya Ramasamy, berkeras mendakwa urusniaga tanah tersebut adalah satu 'penipuan'.
Teng (kiri), yang juga bekas ADUN Kebun Bunga, menganggap ianya hanya satu “kecuaian di pihak pegawai kerajaan”.
“Teruskan dan saman kita kerana kita tetap mengatakan ini adalah satu skandal," tambah Ramasamy yang dibentangkan Kertas Putih mengenai perkara itu di sidang dewan undangan negeri baru-baru ini.
“Jika dia begitu yakin dengan badan kehakiman dan yakin dia boleh menang kes terhadap kami, teruskanlah dan saman," cabar Ramasamy.
“Tapi saya agak hairan yang dia (Teng) begitu yakin dengan badan kehakiman,” tambahnya.