Perebutan bagi jawatan timbalan presiden PAS semakin panas apabila Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.
Setakat ini, bekas naib presiden Mohamad Sabu mengumumkan bertanding jawatan tersebut manakala penyandangnya Nasharuddin Mat Isa akan mempertahan jawatannya dalam muktamar parti awal bulan depan.
Dalam satu kenyataan, Tuan Ibrahim berkata, beliau telah dicalonkan
untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan naib presiden, dengan jumlah pencalonan yang agak memberangsangkan.
Katanya, beliau sebelum ini telah berkali-kali menyatakan hasratnya yang lebih berminat mempertahankan jawatan naib presiden sekiranya menerima pencalonan mencukupi.
"Namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan timbalan presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar.
Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, beliau tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang diterimanya bagi jawatan timbalan presiden.
Namun, katanya, ianya suatu jumlah yang "memerlukan saya memikirkannya semula hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan."
"Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja," tambahnya.
"Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan hati yang terbuka, pada masa yang sama saya menyerahkannya kepada perwakilan untuk membuat keputusan," tambahnya.
Terima kasih
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkan beliau.
"Dengan rendah diri, saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama.
"Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam," tegas Tuan Ibrahim.
Sebelum ini, Malaysiakini difahamkan Tuan Ibrahim memperolehi 39 pencalonan di belakang Mohamad Sabu (47) dan Nasharudddin (43).
Juga difahamkan kira-kira 15 kawasan lagi yang berhasrat untuk mencalonkan Tuan Ibrahim bagi jawatan timbalan tetapi tidak dapat berbuat demikian atas sebab-sebab teknikal berkaitan dengan tarikh tutup.
Sekiranya, mereka sempat membuat pencalonan, maka Tuan Ibrahim akan memperolehi pencalonan tertinggi untuk bertanding jawatan nombor dua itu.
Esok merupakan tarikh tutup penerimaan pencalonan bagi calon-calon yang layak bertanding jawatan utama parti itu bulan depan.