PKR mengesahkan pihaknya kini sedang berusaha untuk menarik bekas parti komponen BN - Parti Maju Sabah (SAPP) - untuk menyertai Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, menurut naib presiden PKR, Tian Chua, belum ada kata sepakat yang berjaya dicapai setakat ini.
"Kami masih di peringkat rundingan," katanya tanpa menyatakan butiran terperinci usaha itu.
Semalam, SAPP dilaporkan bersedia mengadakan rundingan dengan Pakatan bagi mencari jalan untuk menentang BN di Sabah pada pilihan raya umum akan datang.
Parti itu telah membentuk sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan naib presiden Dullie Marie bagi mengadakan perbincangan dengan panel tiga anggota Pakatan dari parti DAP.
Dalam sidang media minggguan PKR di ibu pejabatnya di Petaling Jaya hari ini, Tian menjelaskan rundingan itu bagi memudahkan mereka menghadapi "musuh bersama" dalam pilihan raya.
"Ia masih berjalan. Harapnya akan berjaya dimuktamadkan sebelum pilihan raya umum," katanya anggota parlimen Batu itu.
Nurul Izzah: Tidak sukar
Ditanya sama ada benar SAPP akan menjadi parti seterusnya menyertai Pakatan selepas PKR, DAP, PAS dan Parti Rakyat Sarawak (SNAP), Tian menjelaskan bahawa ia masih "belum sampai ke situ".
"Secara umumnya, dalam Pakatan, kita mengalukan sesiapa sahaja untuk bersama-sama perjuangan kita," katanya.
SNAP yang menyertai Pakatan menjelang pilihan raya Sarawak baru-baru ini meninggalkan Pakatan setelah gagal dalam rundingan pembahagian kerusi dengan PKR di negeri itu.
Sementara seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut hadir dalam sidang media itu berkata, tidak sukar untuk SAPP menyertai Pakatan memandangkan mereka pernah bekerjasama dalam pilihan raya kecil sebelum ini.
SAPP meninggalkan BN menjelang ura-ura 16 September di mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mereka akan membentuk kerajaan baru persekutuan selepas tarikh itu.