Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mempertimbangkan tiga opsyen bagi mengelak sebarang keputusan tidak rasmi dihebahkan pada pilihan raya umum akan datang berikutan insiden yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiga opsyen itu adalah sama ada menguatkuasakan larangan membawa telefon bimbit ke pusat penjumlahan undi, deklarasi bersumpah untuk tidak membuat apa-apa hebahan, atau semua undi dikira lewat walaupun pusat mengundi ditutup lebih awal.
Katanya perkara tersebut akan diputuskan pada bulan depan.
"Pengalaman kita di Sarawak, ada satu parti yang tidak bertanggungjawab menghebahkan keputusan, yang bukan sahaja menghebahkannya, tetapi juga membohongi rakyat dan pengundi Sarawak dengan menyatakan partinya telah memenangi pilihan raya tersebut.
"Perhubungan ini dibuat adalah melalui telefon bimbit. Jadi, salah satu ialah mungkin kita nak tahan telefon bimbit atau mungkin ada deklarasi bersumpah atau mengira semua undi pada pukul 5 petang, tidak ada kira awal, walaupun pusat mengundi ditutup awal," katanya dalam satu temubual khas di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Abdul Aziz, yang kecewa dengan insiden berkenaan, berkata kejadian itu berlaku kerana di Sarawak, terdapat tempat mengundi ditutup lebih awal dan pengiraan undi terus dilakukan.
Sepatutnya setiap ejen parti mempunyai etika berhubung perkara itu dan tidak menghebahkan keputusan, katanya.
Di Singapura, kata beliau bukan sahaja ejen parti tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, tetapi larangan turut dikuatkuasakan terhadap pengundi negara berkenaan.
Katanya SPR perlu mengambil tindakan berikutan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak beretika, yang jika tidak dibendung, boleh menimbulkan keadaan huru-hara pada pilihan raya umum akan datang.
"Sebelum SPR mengumumkan keputusan, pihak lain tidak boleh membuat apa-apa pengumuman. Itu tidak bertanggungjawab namanya.
"Kita (SPR) jemput mereka sama-sama masuk dalam bilik mengira undi untuk menunjukkan ketelusan, tetapi nampaknya mereka menyalahgunakan kebebasan itu," katanya.
Abdul Aziz berkata mereka menggunakan kemudahan itu untuk kepentingan politik.
- Bernama