Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa kerajaan negeri Melaka lebih menjaga kepentingan pelabur asing berbanding peniaga kecil yang terdiri daripada warga tempatan.
Presidennya, Mohd Redzuan Abdullah berkata, sebagai bukti, beberapa isu yang dihadapi kini membabitkan kira-kira 100 peniaga kecil yang diarah berpindah dari premis perniagaan asal mereka atas alasan projek pembangunan.
Menurutnya, antara lokasi yang menjadi pertikaian kini termasuklah peniaga sekitar gerai milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersebelahan bangunan Hatten Square di Banda Hilir, peniaga di Taman Mini Malaysia dan Taman Buaya.
Katanya, kerajaan negeri tidak serius di dalam menangani masalah mereka apatah lagi terus mengabaikan soal kebajikan peniaga terlibat hanya semata-mata ingin memastikan projek pembangunan yang dirancang terlaksana.
"Kami melihat tindakan kerajaan negeri lebih memihak kepada pelabur asing demi untuk menjaga hati mereka sedangkan segala tuntutan peniaga dan kesusahan yang dihadapi peniaga setelah berpindah langsung tidak diendahkan.
"Memang ada mereka beri pampasan atau sagu hati tetapi jumlah yang diberikan bagi kami terlalu kecil berbanding kesulitan terpaksa ditanggung peniaga akibat perpindahan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan lebih 20 peniaga kecil di Banda Hilir yang terlibat dengan arahan berpindah.
Hitam putih
Mohd Redzuan berkata, keadaan yang berlaku menampakkan nasib peniaga kecil tempatan yang sebilangan besarnya terdiri dari kaum Melayu tertindas setelah dikatakan sekadar memberikan pampasan yang dianggap langsung tidak masuk akal.
"Kita tidak mahu kerajaan negeri Melaka menekan peniaga Melayu ini, kerana asyik menyuruh mereka berpindah randah yang belum tentu ada jaminan boleh menempatkan semula di sini berikutan tiada sebarang hitam putih.
"Ikhlas tidak menghalang hasrat kerajaan negeri Melaka untuk menaiktaraf lokasi perniagaan terlibat tetapi biarlah kena dengan caranya.
"Bagi kami, sekurang-kurangnya biarlah pampasan yang diberi munasabah dan sesuai dengan kesulitan yang bakal ditempuhi peniaga," katanya.
Malaysiakini difahamkan, setakat ini, 16 peniaga yang terlibat di Gerai MBMB di Banda Hilir bakal menerima sebanyak RM800 sebulan sebagai saguhati selama projek membina terminal bas pelancong dua tingkat siap sepenuhnya.
Buat sementara, sebahagian daripada mereka akan ditempatkan di gerai sementara di Taman Rempah, Sungai Melaka manakala sebahagiannya ditempatkan di Heritage Bazar, Dataran Pahlawan dan beberapa gerai milik MBMB sekitar bandaraya tersebut.
Dalam pada itu, menurut Mohd Redzuan, nasib berbeza dialami kira-kira 11 peniaga kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Taman Mini Malaysia apabila sekadar diberikan sebanyak RM500 sebulan sepanjang projek menaik taraf premis perniagaan mereka siap.
Tak jaga kebajikan Melayu
Jumlah berkenaan, katanya langsung tidak masuk akal meskipun beberapa kali pihak terlibat menyatakan rayuan kepada PKNM.
"Mereka (PKNM) ingat, jumlah RM500 besar, sedangkan hari ini belanja pasar pun tidak cukup apatah lagi untuk menampung pembayaran lain seperti hutang kereta, rumah, sekolah anak dan pinjaman lain.
"Saya hendak ingatkan PKNM, jangan hendak zalimi peniaga. Ikhlas tidak teragak-agak untuk mengumpul seberapa ramai peniaga kecil bagi menyatakan bantahan terhadap perkara ini.
"Sedangkan Perdana Menteri kata, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan tetapi dalam isu ini mereka lebih mengutamakan pelabur asing daripada peniaga kecil.
"Kalau orang Melayu sendiri tak jaga kebajikan orang Melayu maka siapa lagi. Sudah tentu bangsa lain akan lebih menekan kita," katanya.
Jelasnya, setakatnya setakat ini, peniaga di Taman Mini Malaysia masih tidak diberikan jaminan bahawa mereka akan ditempatkan kembali ke premis asal mereka sebaik projek itu siap nanti.
"Begitu juga, peniaga di Taman Buaya, Ayer Keroh yang turut diarah berpindah sedangkan sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang hitam putih mengenai perkara itu," katanya.