Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chor: Rumah anak yatim diroboh jika tidak selamat
Diterbitkan:  May 22, 2011 3:44 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, iaitu lokasi kejadian tanah runtuh yang telah meragut 16 nyawa, akan dirobohkan sekiranya penilaian mendapati ia tidak selamat diduduki, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.

    

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek bagi menentukan sama ada lokasi penempatan rumah kebajikan itu sesuai diduduki.

    

"Sama ada rumah ini selamat atau tidak, kita akan serahkan pada JKR untuk buat siasatan lanjut dan teknikal dan jika didapati tidak selamat, majlis (Majlis Perbandaran Kajang) akan ambil tindakan untuk runtuhkan rumah ini," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini, lapor Bernama.

    

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang semalam, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

    

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

    

Chor berkata rumah itu telah dibina lebih 10 tahun lepas dan ia merupakan tapak pertanian dan bendang.

    

"Pada masa dulu, MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) tidak sampai ke tempat ini, jadi tidak boleh salahkan penduduk yang bina rumah dekat sini. Tuan tanah berhak untuk bina rumah sendiri untuk keluarga sendiri, ia tidak salah.

    

"Namun pada masa ini, kalau ada tuan-tuan tanah yang ingin bina rumah, mereka harus kemukakan permohonan kepada MPKj," katanya.

    

Chor menjelaskan bahawa tiada tindakan boleh diambil ke atas mana-mana pihak kerana rumah tersebut telah dibina lebih 10 tahun.

    

"Kita tidak boleh ambil tindakan kerana pada masa itu tiada syarat permohonan perlu dikemukakan pada majlis. Masa itu tidak perlu, sekarang lain," katanya.

    

Beliau berkata kementerian telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara pada tahun lepas tentang justikasi atau kawalan PBT mengenai perancangan pembinaan rumah berhampiran lereng bukit dimana arkitek perlu mematuhi syarat dengan mengemukakan strategi kejuruteraan pencemaran.

    

Sekiranya tanpa syarat kejuruteraan pencemaran, rumah yang dibina perlulah jaraknya dua kali dari ketinggian bukit, katanya.

    

"Contohnya katalah bukit itu 100 kaki, jaraknya kena 200 kaki, baru boleh buat rumah" katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS