Semua calon-calon yang layak bertanding pada pemilihan parti PAS Jun ini bebas untuk berkempen tetapi terikat dengan etika dan akhlak Islam seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Walaupun tidak ada peraturan khusus dalam berkempen sepanjang pemilihan itu, pengerusi jawatankuasa pemilihan Datuk Abdul Halim Abd Rahman berkata pihaknya juga tidak akan menentukan garis panduan tersebut.
"Tugas kita hanya menguruskan pemilihan Jawatankuasa Pusat dan dewan-dewan... Itu ruang yang diberikan kepada kita.
"Hanya AJK PAS Pusat yang memutuskan (garis panduannya). Saya tidak boleh nak 'overruled' (arahan PAS Pusat).
"Calon bebas untuk berkempen. Dalam PAS mementingkan akhlak Islam," kata Abdul Halim pada sidang media bagi mengulas soalan wartawan berhubung etika berkempen yang ditetapkan oleh parti.
Mengulas lanjut, katanya sekiranya ada aduan salah laku terhadap calon yang bertanding, maka yang boleh membuat siasatan adalah jawatankuasa displin atau jawatankuasa PAS Pusat.
Hujah beliau itu disokong oleh pegawai sekretariat pemilihan Khairul Anwar Mat Zuki yang membacakan peruntukan perlembagaan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, berdasarkan fasal 82 perlembagaan parti, AJK PAS Pusat yang akan menentukan prosedur siasatan dengan menubuhkan jawatankuasa tatatertib.
"Jawatankuasa displin yang akan menerima aduan yang dibuat oleh cawangan atau kawasan atau dewan-dewan atas kepentingan parti. Ia berdasarkan bukti diberikan.
"(Aduan) individu seperti penulis blog tidak akan diambil kira," katanya Khairul Anwar.
Garis panduan berkempen
Ditanya sama ada terdapat cadangan untuk membuat garis panduan berkempen, Abdul Halim yang juga ahli parlimen Pengkala Chepa berkata setakat ini beliau tidak nampak keperluannya.
"Tidak ada cadangan. Jika ada suasana gawat (kita buat). Sekarang suasana tenang. Yang berkempen pun secara senyap-senyap," katanya sambil membaca peruntukan fasal 84 dan 85 berhubung peraturan mesyuarat dan aturan muktamar.
Menurutnya setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan, dan pemilihan berjalan dengan licin berbanding dua tahun lalu yang disifatkannya sebagai "panas".
Ditanya mengapa jawatankuasa pemilihan enggan mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima calon yang layak bertanding, Abdul Halim mengulangi bahawa jawatankuasa itu "mesti betul-betul berkecuali dan tidak boleh terlibat dalam apa-apa yang ditafsirkan sebagai menyokong calon".
Bahkan, Abdul Halim berkata beliau tidak mengetahui jumlah pencalonan yang diterima calon-calon khususnya bagi jawatan timbalan presiden.
"Kalau saya tahu, saya bohong kepada tuan-tuan. Memang saya tidak tahu,"katanya.
Keciciran nama
Sementara itu pada sidang media yang sama Abdul Halim menjelaskan berhubung keciciran lima nama untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Katanya, dalam rekodnya jawatankuasa memang terdapat nama tersebut, tetapi tidak dimasukkan dalam senarai yang diedarkan kepada media pada 17 Mei lalu.
Hal demikian berlaku kerana "kesilapan teknikal yang tidak disengajakan" disebabkan kelemahan manusia termasuk terlalu ramai calon yang hendak diuruskan oleh jawatankuasanya.
"Saya tidak ada plan nak buat sidang media pada 17 Mei sebab (masih) tidak selesai, tapi saya buat atas permintaan tuan-tuan.
"Kita tidak sempat nak buat tiga kali semakan... (Jadi) Saya bagi pihak jawatankuasa memohon maaf di atas keciciran.Surat pencalonan sudah dihantar kepada mereka,"katanya.
Kelima-lima calon tersebut adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakod, Dr Dzulkefly Ahmad (ahli parlimen Kuala Selangor), Muhammad Husin (ahli parlimen Pasir Puteh), Kamal Ashaari (exco Pemuda PAS) dan Hishammuddin Sulaiman (Yang Dipertua PAS Keningau).
Beliau juga turut mengingatkan supaya calon-calon yang masih belum menerima surat makluman pencalonan kerana alamat surat menyurat berubah maka diminta menghubungi pejabat agung untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, jumlah calon yang layak bertanding jawatan AJk adalah seramai 87 calon.
Jawatankuasa akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan senarai rasmi calon yang bertanding pada 27 Mei ini jam 4 petang di ibu pejabat parti.