Kempen agresif Pakatan Rakyat di Sarawak kini membimbangkan kerajaan negeri dan juga persekutuan pimpinan BN.
Sambil menyifatkan pembangkang mengamalkan "budaya politik tidak bertanggungjawab" Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan berkata kempen dengan matlamat mendapatkan sokongan penduduk luar bandar amat membimbangkan.
"Ia pada asasnya menggunakan pendekatan pembohongan, serangan peribadi dan memupuk tingkah laku anti-sosial," kata Mawan kepada Bernama pada majlis makan malam menjelang sambutan Gawai Dayak di Pakan malam semalam.
Antara tetamu yang hadir ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, yang juga anggota Parlimen Julau.
Keadaan itu, kata Mawan amat dirasai pada pilihan raya negeri 16 April lalu apabila "parti-parti pembangkang dari luar negeri ini mengamalkan budaya itu hanya untuk meraih undi dan memenangi pilihan raya."
Menurut beliau apa yang dikesalkan ialah golongan muda diajar bersikap agresif dan tidak menghormati golongan tua, ibu bapa dan pemimpin tempatan.
"Mereka, sebagai contoh, diajar menundingkan jari telunjuk di depan muka kita, memfitnah orang lain dan entah apa-apa lagi. Jika kita mengambil sikap tidak peduli atau mahu mencontohi semua ini, kita secara beransur-ansur akan kehilangan nilai dan norma sosial kita," katanya.
Orang ramai juga, katanya cenderung untuk mempercayai 20 peratus daripada pembohongan yang dilemparkan.
Menyeru orang ramai "supaya memerangi perkara itu bukan sahaja ketika pilihan raya tetapi pada setiap masa,"
Mawan berkata budaya negatif itu akan memberikan kesan pada pilihan raya di masa depan. Beliau menegaskan orang ramai sepatutnya memilih kesederhanaan demi kebaikan
bersama.
Dalam ucapannya, Salang mengingatkan masyarakat Dayak supaya tidak berbelanja berlebih-lebihan untuk perayaan Gawai hanya kerana mereka mempunyai banyak wang berikutan harga tinggi getah dan lada hitam pada masa ini.
"Kita patut berbelanja secara berhemah dan apa yang perlu sahaja. Jangan kita berlebih-lebihan," katanya.