DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberikan peluang mengundi kepada hampir sejuta rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di luar negara.
Setiausaha agungnya Lim Guan Eng ( kanan ) berkata, tiada sebab Malaysia tidak boleh melakukannya kerana negara yang mempunyai pengundi jauh lebih ramai seperti India pun mampu menjalankannya.
"Singapura telah berjaya memberikan hak- hak rakyat untuk mengundi di Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan Besar di luar Negara dan India juga telah melakukannya,” katanya.
Dalam kenyataan media hari ini, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, cadangan itu selari dengan peluang yang diberikan kepada anggota keselamatan yang mendapat peluang undi awal sebagai ganti kepada undi pos.
Sementara itu mengulas cadangan undi awal itu, parti itu juga mengemukakan persoalan tentang kaedah pelaksanaannya ekoran ia dilaporkan akan dibuat sebelum tarikh pembuangan undi.
"Jika ini benar, timbul pertanyaan adakah proses undi akan dikawal rapi seperti ejen tempat undi dibenarkan dan sebagainya?" soalnya.
Lim juga bertanyakan SPR sama ada perubahan tersebut akan dilaksanakan dalam pilihan raya akan datang.
"Terpulang kepada Pengarah SPR untuk membuktikan sama ada perubahan tersebut ke arah positif dan akan memberi pelindungan untuk mengelakkan berlakunya penipuan termasuk memudahkan pihak-pihak tertentu melakukan penipuan selama proses undi pos atau pengundian awal," katanya.