Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Royalti minyak: Rayuan Kelantan 26 Mei ini
Diterbitkan:  May 20, 2011 3:04 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Mahkamah Rayuan menetapkan 26 Mei ini untuk mendengar rayuan kerajaan negeri Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung royalti minyak.

azlan Mahkamah Rayuan akan turut mendengar satu lagi rayuan oleh kerajaan negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan bagi kes saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Komersial Baru (NCC).

"Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Mei untuk pengurusan kes saman itu sementara menunggu keputusan rayuan," kata peguam, Rishwant Singh yang mewakili PETRONAS selepas menemui Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof di dalam kamarnya ketika kes itu disebut untuk pengurusan kes.

Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi mewakili kerajaan persekutuan manakala peguam Alan Gomez pula mewakili kerajaan negeri Kelantan.

Rishwant berkata, mahkamah menetapkan hari yang sama untuk sebutan permohonan oleh Petronas dan kerajaan persekutuan untuk membicarakan isu permulaan membabitkan perkara perundangan, bagi mahkamah menetapkan isu sebelum meneruskan dengan perbicaraan kes saman berkenaan.

NONE Pada 22 Mac lalu, Hakim Zabariah membenarkan permohonan kerajaan persekutuan untuk menjadi pencelah dalam saman itu dan menjadi sebahagian daripada saman itu sebagai defendan kedua.

Pada 31 Mac pula, beliau menolak permohonan kerajaan negeri supaya kes saman itu dipindahkan semula ke NCC.

Kerajaan negeri mahu kes itu dipindahkan semula memandangkan saman berkenaan pada mulanya difailkan di NCC, tetapi kini akan didengar di Mahkamah Sivil Baru (NCvC).

Dalam saman yang difailkan pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal kerana didakwa melanggar kontrak berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada kerajaan negeri berhubung royalti minyak.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri, antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan, termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

NONE Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan.

Dalam saman itu, kerajaan negeri menjelaskan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 jelas menyebut bahawa Petronas mesti membayar secara tunai lima peratus daripada perolehan minyak, sama ada hasil cari gali di pesisir atau luar pesisir.

Menurutnya, klausa perjanjian turut menyebut bahawa pembayaran perlu dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac, atau pada atau sebelum 1 September dan pembayaran mesti diteruskan sehingga deposit minyak yang diperoleh dari negeri ini sudah habis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS