Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Paras laut Malaysia alami kenaikan 5 mm setiap tahun
Diterbitkan:  May 20, 2011 11:25 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Kajian mengenai kenaikan paras air laut di Malaysia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa purata kenaikan aras laut bagi tahun 2000 hingga 2050 adalah 0.25 meter, iaitu bersamaan dengan lima milimeter setahun.

NONE Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata kajian JPS itu dibuat sebagai susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim baru-baru ini yang mendakwa kenaikan paras air laut adalah 28 hingga 43 sentimeter menjelang akhir abad ini.

Menurutnya kajian JPS itu menunjukkan bahawa kenyataan mengenai kenaikan aras air laut 10 sentimeter setahun yang dikeluarkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) seperti yang dilaporkan adalah kurang tepat.

Kementerian itu turut menjelaskan bahawa JPS tidak melaksanakan sebarang kerja-kerja merekod paras air laut sebagaimana yang dilaporkan, dan menurut kenyataan itu Jadual Pasang Surut disediakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) yang diterbitkan setiap tahun.

NONE Bagaimanapun menurutnya Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan, sebuah agensi penyelidikan di bawah kementerian itu pada dasarnya bersetuju bahawa kesan pemanasan global akan menyebabkan fenomena peningkatan aras laut di persisiran pantai Malaysia.

Corak kenaikan aras laut sejak lima tahun lepas didapati menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding corak ketika 20 tahun terdahulu, katanya.

Menurutnya kadar kenaikan aras laut purata di sepanjang garis pantai Malaysia yang dikira dari satelit altimeter dari tahun 1993 hingga 2010 ialah 2.73 hingga 7 milimeter setahun.

- Bernama

ADS