Persatuan Digital Rakyat Malaysia (MDA) mengesahkan Malaysiakini adalah portal berita nombor satu negara sepanjang bulan lalu.
Dengan 2.7 juta pelawat unik pada April, Malaysiakini mendahului the Star (2.4 juta), Harian Metro (1.6 juta) dan Utusan Malaysia (1.3 juta).
Menurut Effective Measure, yang mengumpulkan data bulanan itu kepada MDA, laman yang paling kerap dikunjungi rakyat Malaysia adalah Facebook dengan 8.5 juta pelayar dan diikuti dengan Google dengan 5 juta pelayar.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran ( bawah, kanan ) berkata jumlah pembaca bagi portal berita bebas itu meningkat 17 peratus berbanding Mac.
"Kami yakin pilihan raya negeri Sarawak menarik minat sebahagian besar pembaca Malaysiakini yang baru itu,” katanya.
"Kenaikkan itu lebih membanggakan kerana laman itu (pada April) diserang DOS (denial of service) dan kami terpaksa menutup laluan kepada semua trafik antarabangsa selama seminggu,” tambahnya.
Serangan yang bermula dua hari selepas kempen pilihan raya 10 hari bermula dan berterusan sehingga hari mengundi.
Trafik antarabangsa lazimnya menyumbang sekitar 15 peratus daripada jumlah trafik kepada Malaysiakini .
MDA - adalah badan yang dianggotai kebanyaknnya oleh penerbit dan agensi pengiklanan, Mereka memilih Effective Measure yang berpangkalan di Australia sebgai ‘pengukur kadar Internet’ di negara ini yang rasmi.