Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Masih ada 'masalah' di peringkat akar umbi Umno
Diterbitkan:  May 17, 2011 10:54 PM
Dikemaskini: May 18, 2011 2:51 AM

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan seluruh perwakilan dan kepimpinan parti di peringkat bahagian dan cawangan supaya memperkukuhkan hubungan mereka bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

NONE Menurutnya, rata-rata tinjauan beliau di peringkat bahagian, mendapati wujudnya "masalah" hubungan antara pemimpin parti, bahagian, cawangan dan sayap-sayap.

"Rata-rata di peringkat bawahan khususnya Umno bahagian masih dalam keadaan sama (iaitu) tidak memperlihatkan satu perubahan agak besar.

"Ada masalah lagi timbul, hubungan pemimpin parti di peringkat bahagian cawangan dan sayap bermasalah.

"Saya sendiri berpengalaman membuat tinjauan di seluruh negara berjumpa dengan pemimpin negeri dan bahagian, antara faktor yang perlu ditangani adalah dengan memperkukuhkan hubungan di peringkat bahagian," katanya.

Menurutnya pengukuhan itu penting kerana akar umbi di peringkat inilah yang akan menggerakkan jentera kempen dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Kewajipan kita menjaga hubungan baik bersama dengan semangat kekitaan dan perpaduan sesama kita.

"Segala apa jua isu yang timbul, ia perlu diselesaikan awal-awal lagi," katanya.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri memberi amanat tersebut dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Umno bahagian Petaling Jaya Utara petang tadi.

Walaupun mengakui kerusi parlimen PJU dikuasai oleh parti komponen BN - MCA - beliau berkata, Umno juga mempunyai sejarah "menguasai" kerusi tersebut.

Sehubungan itu, sebagai rakan parti komponen, beliau menggesa bahagian tersebut membantu rakan kongsinya itu dalam pilihan raya akan datang.

"Tak kira di mana kita berada, tidak kira calon Umno atau calon dia (MCA) dalam komponen BN, kita mesti bekerja keras untuk menebuskan kekalahan khususnya di negeri Selangor (dan) mengembalikan kuasa politik dan kerajaan pada parti kita pada masa akan datang," tegasnya yang mendapat tepukan gemuruh kira-kira 300 perwakilan.

Katanya, jika Umno dapat menjalankan program-program khususnya di peringkat bawah, beliau yakin parti itu akan memperolehi sokongan yang lebih besar untuk mengembalikan kuasa politik kepada BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS