Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas pencalonan ditutup, enam orang layak bertanding jawatan timbalan presiden PAS manakala 14 lagi layak bertanding untuk tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan parti Islam itu bulan depan.

Mereka yang layak bertanding timbalan ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Husam Musa (exco kerajaan Kelantan), Mohamad Sabu (bekas naib presiden), Nasharudin Mat Isa (penyandang) dan dua naib presiden - Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ia diumumkan oleh pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dalam satu sidang media hari ini.

Bagaimanapun Abdul Halim berkata pihaknya tidak mahu mendedahkan jumlah yang diperolehi oleh setiap calon.

"Kita tidak umum...Kita tidak mahu terlibat seolah-olah dibaca sebagai berkempen (kepada calon)," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti.

Manakala 14 yang layak bertanding naib presiden termasuklah tiga penyandangnya - Salahudin, Tuan Ibrahim dan Datuk Mahfuz Omar. Yang lainnya termasuklah ketua penerangan Idris Ahmad, AJK pusat Mazlan Aliman, exco kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Amar Abdullah dan bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, dan  Mujahid Yusof Rawa.

Husam, Mohamad Sabu, Azizan dan Nasharudin turut menerima pencalonan yang mencukupi untuk layak bertanding naib presiden. Dua lagi ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Nik Zawawi Nik Salleh dari Dewan Ulama.

Manakala 83 orang lagi layak untuk bertanding mengisi 18 kerusi jawatankuasa PAS pusat (AJK).

Manakala enam orang lagi akan dilantik oleh jawatankuasa baru, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 24 orang.

Abdul Halim berkata, pihaknya hanya akan memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima, kepada calon-calon yang  layak.

Menurutnya, pihaknya akan memaklum kepada mereka melalui surat bermula hari ini sehingga 26 Jun ini.

Dan mereka perlu menjawab sama ada untuk menerima atau menolak pencalonan melalui surat, atau sms atau faks.

"(Hantar sesuatu) yang kita boleh pegang oleh jawatankuasa (pemilihan)," kata Abdul Halim yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan beberapa pegawai pemilihan parti.

Sebelum itu, Mustafa berkata pihak jawatankuasa parti menerima 152 pencalonan daripada 180 kawasan.

Bagaimana daripada jumlah yang diterima, jawatankuasa telah menolak enam pencalonan kawasan antaranya disebabkan "borang tidak lengkap kerana tidak ditandatangani".

"Oleh itu pencalonan yang sah diterima adalah sebanyak 146 pencalonan (kawasan).

"Tahun ini lebih banyak pencalonan berbanding dua tahun iaitu sebanyak 137 kawasan," katanya.

Menurutnya,  dua lagi kawasan belum mengadakan mesyuarat kawasan, iaitu Bachok di Kelantan dan Libaran di Sabah.

Sebanyak 1,100 perwakilan dijangka menghadiri muktamar tahun ini, dan akan mengundi dalam pemilihan kali ini, tambahnya.

Ditanya mengenai etika berkempen, Mustafa berkata:

"Kita tidak ada (tetapkan etika berkempen). Dalam PAS ini semua (calon) gentleman.

"Etika (berkempen) sudah difahami dan sudah tahu oleh semua orang, sebab itu kita tak ada etika (berkempen)... Kita tidak ada guideline (garispanduan),"katanya.

Menjawab soalan pemberita, Mustafa berkata pihaknya tidak memantau ceramah yang anggap sesetangah pihak sebagai kempen.

"Seperti yang saya selalu sebut, siapa kempen berlebihan, perwakilan tidak berapa senang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS