Kerajaan memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol arah Cheras dan Plaza Tol arah Petaling Jaya, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata pemansuhan tol itu dilaksanakan tujuh tahun lebih awal daripada tarikh sebenar dalam perjanjian konsesi yang akan tamat pada 31 Mei 2018.
Katanya, penutupan plaza tol itu dapat memberi faedah kepada lebih 100,000 pengguna lebuh raya sehari terutamanya bagi penduduk Bandar Permaisuri, Bandar Tun Razak dan kawasan sekitarnya.
"Dengan pemansuhan kutipan tol ini, dianggarkan sebanyak RM180 juta tidak akan dipungut sepanjang tempoh baki konsesi manakala kerajaan juga tidak perlu membayar sebarang pampasan atas persetujuan penutupan awal tol tersebut," katanya pada majlis pemansuhan kutipan tol tersebut malam ini.
Lebuhraya Metramac sepanjang 6.5 kilometer yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught mula dibuka pada 1 Ogos 1995 dengan kos pembinaan RM125 juta.
Kadar tol yang dikenakan di kedua-dua plaza tol tersebut adalah RM0.50 (kelas 1), RM1 (kelas 2 dan 3), RM0.30 (kelas 4) dan RM0.50 (kelas 5).
Pada 28 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kutipan tol di plaza tol berkenaan akan ditamatkan lebih awal berbanding tempoh konsesinya yang berakhir pada 2018.
Shaziman berkata langkah Kerajaan itu adalah kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian berhemah bagi pengguna berhubung isu tol.
"Hasrat kerajaan ini telah pun mula direalisasikan menerusi keputusan kerajaan menamatkan keputusan kutipan tol di beberapa lebuh raya sejak 1993 lagi.
"Antaranya ialah pemansuhan tol di Plaza Tol Slim River, Lebuhraya Slim River Tanjung Malim pada 11 Jan 1993 dan pemansuhan tol di Plaza Tol Jalan Kuching pada 8 Jan 2003," katanya.
- Bernama