Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mandur maut disengat tebuan
Diterbitkan:  May 16, 2011 8:21 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Seorang mandur ladang kelapa sawit milik Risda maut selepas disengat sekumpulan tebuan semasa sedang menunggang motosikal di Kampung Serdang, di Dungun pagi ini.

    

Mohd Taufiq Jusoh, 26, dari Kampung Batu 48, meninggal dunia semasa dalam perjalanan untuk dibawa ke Hospital Dungun di sini selepas sebahagian badan dan kepalanya disengat dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu.

    

Ibunya, Habsah Yusof, 56, berkata Mohd Taufik baru sahaja melapor diri di Pejabat Risda daerah Dungun pagi ini selepas ditukarkan ke daerah itu, dari pejabat Risda daerah Marang.

    

Beliau berkata sebaik tiba di pejabat itu, beliau difahamkan Mohd Taufik pergi ke ladang berkenaan untuk mencari penyelia ladang, dan ketika dalam perjalanan, dia diserang oleh sekumpulan tebuan.

    

"Selepas disengat, arwah bertukar arah dan bergegas ke Klinik Kesihatan Kampung Delong kira-kira dua kilometer dari tempat dia disengat," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Dungun di sini.

    

Habsah berkata sebaik tiba di klinik itu, Mohd Taufiq sempat memberitahu kakitangan klinik yang dia disengat tebuan sebelum terus pengsan, dan pihak klinik kemudiannya menghantarnya ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

    

Bagaimanapun Habsah berkata keadaan anaknya yang masih bujang itu semakin teruk dan dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS