Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno desak k'jaan jangan naik harga RON95
Diterbitkan:  May 16, 2011 4:50 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Pergerakan Pemuda Umno Malaysia gusar dengan kenyataan Menteri  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa rakyat bersiap sedia menghadapi kemungkinan kenaikan harga minyak RON95.

NONE "Ini kerana usaha-usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak," kata kenyataan pergerakan itu hari ini.

Sebagai contoh, katanya, menurut Perbadanan Produktiviti Negara, kos tanggungan bagi memenuhi pelbagai peraturan kerajaan dalam memulakan sebarang aktiviti ekonomi adalah sebanyak RM17.0 bilion atau 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Jumlah kos peraturan dan pematuhan ini adalah 21 kali ganda lebih banyak daripada hasil penjimatan daripada pengurangan subsidi ke atas komoditi gula dan barangan berasaskan minyak pada Julai 2010 dan 14.4 kali ganda bagi tindakan yang sama pada Disember tahun lalu," tambahnya.

azlan Oleh itu, katanya, Pemuda Umno menyarankan agar usaha-usaha ke arah penjimatan bestari melalui kecekapan operasi seperti di atas di samping  tindakan bagi meningkatkan nilai aset dan sumber pendapatan negara diterokai dengan serius dan dilaksanakan terlebih dahulu.

Ini, tambahnya, sesuai dengan cogan kata 1Malaysia yang sentiasa mendahulukan rakyat dari segi kepentingan, kebajikan dan hal ehwal mereka.

"Pada masa yang sama, Pemuda Umno ingin menegaskan bahawa sungguhpun statistik terkini bagi harga barangan pengguna menunjukkan kadar inflasi 3.0 peratus pada Mac 2011 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

"Namun perinciannya menunjukkan bahawa barangan makanan bukan alkohol mencatat kenaikan yang lebih tinggi iaitu 4.7 peratus.

sundry shops kedai runcit everyday goods 250907 aisles "Selanjutnya, jika diteliti kepada pecahan kecil bagi barangan makanan bukan alkohol ini, daging mencatat kenaikan 7.6 peratus, susu dan telur 7.9 peratus, sayur-sayuran 11.4 peratus, gula, jem dan barangan manisan 10.9 peratus, buah-buahan 6.8 peratus dan ikan serta hasil laut 3.8 peratus - yang mana kesemuanya melampaui kadar purata inflasi 3.0 peratus yang dicatatkan.

"Malahan dalam isu ini, Asian Development Bank juga telah membuat kenyataan pada akhir bulan lalu bahawa sepanjang dua bulan pertama tahun ini sahaja, harga bagi barangan makanan dunia telah meningkat sebanyak 30 peratus dan dijangka akan berterusan," tambahnya.

Sehubungan dengan itu, Pemuda Umno mendesak agar Kerajaan tidak menaikkan harga minyak RON95 dan menyeru agar tindakan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat semua.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS