Sebagai sebahagian daripada perutusan Hari Wesak yang dikeluarkan hari ini, MCA hari ini mengingatkan bahawa "kekacuan" akan berlaku sekiranya puak ekstremis dibiarkan terus menyemai kebencian kaum dan agama.
Presidennya, Datuk Dr Chua Soi Lek berkata tidak ada tempat bagi golongan ini yang menurutnya menjadi penghasut dan anasir perosak yang mahu mencetuskan huru-hara dan menyemai kebencian di kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang kacau-bilau jika tahap toleransi rakyatnya berhubung isu-isu yang menjadi perbalahan dimainkan di luar kontek kemanfaatan politik.
Chua berkata, rakyat Malaysia tidak harus terperangkap dengan mereka yang menggunakan isu-isu agama atau perkauman untuk kepentingan politik diri sendiri kerana ia merupakan "satu resipi untuk malapetaka".
"Kesederhanaan politik mesti didukung dan ditekankan. Tiada tempat untuk fanatik keagamaan di negara ini," katanya.
Kini wujud rasa tidak puas hati berhubung laporan muka depan Utusan Malaysia pada 7 Mei lalu yang melaporkan dakwaan dua blog pro-Umno bahawa terdapat rancangan untuk menjadi Kristian agama rasmi oleh sekumpulan pastor dan DAP.
Kumpulan gereja dan DAP telah menafikan dakwaan itu.
Chua berkata, rakyat Malaysia perlu menggunakan sambutan Hari Wesak untuk mengukuhkan lagi komitmen untuk keamanan.
[Baca berita penuh]