Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan ‘debat’ khas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menentukan kesalahan yang dilakukan oleh ayahnya itu, lapor Harakahdaily .
Pada masa yang sama, beliau turut memohon perdana menteri mengarahkan pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah terhadap ayahnya. Sebaliknya, kata Nurul Izzah, debat sebagai medan terbaik untuk membuktikan segala dakwaan kesalahan yang dilakukan khususnya dalam pentadbiran negara sewaktu menjadi timbalan perdana menteri.
“Kalau ayah saya salah, buat debat terbuka biar rakyat dengar, biar rakyat puas hati dan kami juga puas hati apa kesalahan ayah kami,” katanya ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Nurul Izzah yang diadakan di Dataran Ilmu Kok Lanas, di Ketereh, Terengganu petang semalam.
Turut hadir pada pada majlis itu adalah penyelia DUN Kok Lanas, Nik Mahadi Mahmood dan ahli parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir.
Menurut Nurul Izzah lagi, perancangan jahat tidak perlu dilakukan apa lagi dengan tuduhan jijik liwat, video seks dan berbagai lagi kerana ia bukan sahaja memburukkan keluarganya tetapi juga menjejaskan imej negara.
Beliau bagaimanapun yakin kerajaan tidak akan menyahut cabaran bagi berdebat kerana tindakan itu akan memakan diri mereka sendiri.
Nurul Izzah juga berkata beliau menjangkakan pelbagai fitnah lagi bakal dihamburkan terhadap ayahnya menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.
Pada masa yang sama beliau juga turut mengucapkan terima kasih pada PAS dan DAP yang telah menyedarkan dirinya untuk turut berjuang bersama menentang kezaliman kerajaan BN terutama Umno.
Jelasnya, parti yang paling kuat menentang kerajaan khususnya berhubung kes ayahnya ialah PAS sehingga parti itu sanggup berdepan dengan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
“Sebelum ini saya tidak berminat dengan politik, saya belajar di universiti pun bidang kejuruteraan awam, namun kerana kezaliman yang semakin berleluasa khususnya melibatkan ayah, saya sanggup berdepan semua itu,” katanya.
Pada majlis tersebut Izzah tidak dapat menahan sebak apabila menyentuh tentang ugutan yang diterima melalui system pesanan ringkas (SMS) yang memberi amaran akan menculik anak sulungnya sekiranya dia terus menyokong perjuangan Anwar.